Satu perhimpunan akan diadakan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu nanti di ibu negara. Negeri Kelantan nampak gayanya mengambil langkah untuk menggalakkan rakyat-rakyat negeri itu untuk menyertai perhimpunan pada hujung minggu nanti dengan mengumumkan cuti peristiwa kepada rakyat negeri Kelantan pada hari Ahad (9 Disember).
Pengumuman cuti peristiwa sempena perhimpunan itu telah disahkan dan diumumkan oleh Menteri Besar negeri itu sendiri iaitu Datuk Ahmad Yakob hari ini selepas beliau menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.
Cuti peristiwa itu diberikan untuk memberi peluang kepada rakyat Kelantan untuk keluar ke ibu negara dan mengikut sama perhimpunan besar-besaran bagi membantah perlaksanaan ICERD walaupun ICERD memang tidak jadi untuk dilaksanakan oleh kerajaan baru.
“Kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa untuk negeri Kelantan pada 9 Disember 2018 untuk memberi ruang kepada rakyat Kelantan menguruskan perjalanan dengan lancar dan selamat ketika menghadiri himpunan tersebut.
Dijangkakan lebih 500,000 rakyat akan turun padang untuk menyertai perhimpunan bantahan besar-besaran ini yang akan diadakan di Dataran Merdeka.
“Kita harap cuti peristiwa ini memberi ruang untuk lebih ramai rakyat Kelantan pergi ke ibu negara bagi menghadiri perhimpunan yang dibuat secara besar-besaran itu,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia untuk keluar mengikuti perhimpunan tersebut untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara Malaysia dengan membawa mesej yang jelas supaya keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara kita akan terus dijaga dan diperlihara.
Perhimpunan bantah ICERD yang akan diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka ini nanti telah mendapat sokongan penuh daripada parti UMNO dan PAS. Ianya akan tetap diteruskan walaupun kerajaan sudah mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia tidak akan meratifikasikan ICERD dan dinasihatkan supaya tidak diadakan kerana risau akan menyebabkan keadaan yang tidak diingini berlaku.
Mufti Kelantan sendiri, Mohamad Shukri Mohamad antara yang menyarankan supaya himpunan itu tidak akan diteruskan memandangkan keadaan semasa negara yang dilihat agak tegang akhir-akhir ini.
Penganjur turut menjelaskan bahawa perhimpunan ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan untuk memastikan tiada lagi percubaan untuk melaksanakannya di masa hadapan.