Berhubung kenyataan dan tuduhan yang dikeluarkan oleh atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsudin semalam, pihak MSN tampil memberikan kenyataan terhadap tuduhan terhadap YB Syed Saddiq yang dilemparkan.
KP MSN telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung tuduhan itu. Segala keputusan yang diambil tidak mempunyai kaitan dengan arahan atau pandangan dari YB Syed Saddiq.
Dalam media sosialnya, Irfan telah membuat dua dakwaan iaitu pihak KBS/ISN/KOM telah menamatkan kontrak jurulatih peribadi beliau, Frantisek Petrovic yang melatihnya sehingga berjaya, dan juga dakwaan mengenai pihak KBS/MSN/ISN/MOM/KOM tidak bersikap adil dan rasional apabila permohonan beliau untuk ke program latihan luar negaranya selama 85 hari di Prague, Republik Czech dan Antalya Turki, ditolak.
Pihak MSN menjelaskan bahawa keputusan MSN untuk tidak menawarkan kontrak baru kepada jurulatih Frantisek adalah berdasarkan prestasi semasa Irfan sepanjang 2018. Keputusan tersebut adalah perbincangan bersama MSN/ISN/MOM/KOM melalui Jawatankuasa Pemilihan Atlet dan Jurulatih.
MSN dan KOM juga mencadangkan agar Irfan berlatih dengan jurulatih luar negara yang sedia ada iaitu Cik Gu Yuan, seorang jurulatih luar negara dari China bersama atlet-atlet lontaran yang lain, namun Irfan tidak bersetuju dan terburu-buru mengeluarkan belanja sendiri untuk mencari pengganti jurulatihnya di luar negara.
Menerusi temubual YB Syed Saddiq mengenai hal ini, beliau menerima kritikan yang diberikan Irfan, tetapi beliau musykil kerana Irfan tidak menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan isu ini.
Irfan sendiri tidak pernah meminta atau memohon untuk berjumpa dengan Syed Saddiq untuk menyampaikan pandangan beliau berhubung isu ini.
YB Syed Saddiq menjelaskan bahawa masalah yang dibangkitkan Irfan adalah antara beliau dengan persatuan dan tanpa campurtangan politik atau menteri. Malah, perjumpaan terakhir mereka adalah pada Selasa lalu dan tiada keputusan muktamad dikeluarkan kerana perbincangan masih dijalankan.
Beliau juga dimaklumkan pihak MSN berkenaan permintaan jurulatih yang lama adalah atas kehendak Irfan sendiri dan bertindak untuk ke Eropah mencari jurulatih baru di sana.
Berkenaan latihan di luar negara pula, pihak YB Syed Saddiq sentiasa membantu dan MSN dan KOM turut menjelaskan bahawa latihan tersebut dijalankan pada musim sejuk dan ia tidak bersesuaian untuk latihan luar dilakukan pada masa sekarang.
Tambahan pula dokumen kertas kerja yang dihantar Irfan tidak lengkap dan hanya satu muka surat dan tiada dokumen lengkap mengenai kos atau surat rasmi dari pusat latihan di sana disertakan.
Ia mengambil sedikit masa bagi pihak MSN dan KOM untuk meneliti dan telah mengambil jalan untuk berbincang untuk menyelesaikan hal ini.
Irfan kemudiannya tampil memperjelas situasi luahannya di media sosial disalahtafsir memandangkan dia mempunyai alasan sendiri terhadap perancangan tersebut.
Dia mengakui terpaksa menggunakan media sosial sebagai platform untuk meluahkan situasinya dalam usaha menyelamatkan masa depan kariernya kerana telah kesuntukan masa untuk bersiap-siaga dalam banyak kejohanan besar, tahun ini.
Irfan seharusnya bersikap professional dalam meluahkan situasinya dengan menggunakan saluran yang betul kerana ia lebih mudah dan cepat sekiranya mereka bersemuka. Malah, elakkan sikap terburu-buru kerana hal ini masih lagi dibincangkan dan belum ada keputusan muktamad.
Semoga ada jalan penyelesaian dan keputusan yang dibuat untuk kedua-dua pihak ini pada masa depan.