Nasib tiga atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abd Halim dan Nur Suryani Taibi akhirnya didengari dan akan diberi pengadilan yang sewajarnya, setelah dua tahun memperjuangkan hak mereka kerana digugurkan daripada Program Podium atas alasan kurang menyerlah.
Saman terhadap Institut Sukan Negara (ISN) akan dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan. Sebelum ini, tiga atlet menembak tersebut membawa kes saman terhadap ISN pada Oktober 2017, namun ditolak oleh Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mereka bagaimanapun tidak terus menyerah kalah dan memperjuangkan kes dengan memfailkan saman ke atas ISN untuk didengar ke Mahkamah Rayuan.
Pada sesi pendengaran kes hari ini, Mahkamah Rayuan akhirnya membenarkan kes itu dibicarakan dan akan kembali Mahkamah Seksyen pada 27 Februari depan untuk ditetapkan pengurusan kes.
Peguam bela ketiga-tiga atlet itu, Azlan Mazhod yang merupakan Ahsa Advocates & Solicitors berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk penyelesaian di luar mahkamah, namun, sehingga ke hari ini tiada sebarang wakil daripada badan sukan negara itu tampil bagi membincangkan perkara tersebut.
Pihaknya berkata, hal ini sebelum ini sudah dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun, ia tidak menunjukkan sebarang perkembangan dan kekal seperti sebelum ini.
“Kes ini telah dibawa ke Mahkamah Sesyen tetapi ISN menggunakan Akta ISN Seksyen 44 yang mana mereka memiliki imuniti daripada sebarang pendakwaan, akhirnya kes ditolak tanpa didengari terlebih dulu iaitu hanya di peringkat ‘interlokiteri’.
Azlan turut menambah, pihaknya masih terbuka untuk mengadakan perbincangan sekiranya ISN ingin menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.