Hari ini merupakan hari Thaipusam, dan hari ini merupakan hari cuti umum bagi penduduk di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Perak.
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan ‘Thai’, iaitu pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Ia disambut pada malam hari bulan purnama.
Pada penganut Hindu, Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar atau hari menebus dosa dan bertaubat dari dosa-dosa yang lepas.
Bagi yang bernazar, mereka akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan pembersihan jiwa. Mereka hanya makan sayur-sayuran dan makanan dari haiwan-haiwan berdarah adalah dilarang sepanjang berpuasa. Mereka juga akan sentiasa mengunjungi kuil.
Pada hari tersebut, mereka akan membawa susu (paal kudam) yang diisi di dalam belanga tembikar atau aluminium kerana susu dianggap suci. Belanga berisi susu ini akan dihiasi dengan pelbagai corak, warna, daun, dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil sehingga ke dalam kuil.
Selain itu, ramai lelaki Hindu akan mencukur rambut pada hari itu dan mewarnakan kepala mereka dengan kunyit dan cendana. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar, juga bagi melupakan sesuatu peristiwa sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.
Bagi yang memohon ampun dan ingin menghapuskan dosa, mereka akan melakukan pelbagai cara untuk menghapuskan dosa. Kavadi atau rod besi yang akan dibawa atau dijunjung di atas kepala atau bahu yang terletaknya patung dewa Murugan yang pelbagai saiz dan bentuk.
Pembawa kavadi ini diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dan turut diiringi oleh muzik dan mangkuk perasap kemenyan dan diberi minum.
Ada juga antara mereka yang berjalan atas kasut berpaku dan mencucuk panah besi pada lidah, dan pipi pada kiri dan kanan. Ada juga yang mencucuk belakang mereka dengan puluhan mata kail.
Perbuatan ini dikatakan dilakukan dalam keadaan separuh sedar kerana menggunakan bahan-bahan tertentu. Ada juga yang percaya mereka ini diberi kuasa oleh dewa untuk melakukannya.
Di Malaysia, satu perarakan yang diketuai kereta kuda yang melambangkan sebuah patung Dewa Murugan diadakan di sepanjang jalan di Kuala Lumpur. Perarakan ini diikuti oleh perarakan panjang tanpa alas kaki ke Batu Caves bagi tujuan menunaikan nazar.
Perjalanan ke Batu Caves adalah elemen yang paling popular dalam sambutan tersebut. Mereka kemudiannya akan menaiki tangga besar ke dalam gua batu kapur, di mana tempat suci menunggu persembahan tersimpan di gua tersebut.
Batu Caves menjadi tarikan utama bagi penganut Hindu malah pelancong lebih dari sejuta untuk berkumpul merayakan Thaipusam.
Infrastruktur di Batu Caves yang unik, tiada di mana-mana tempat di dunia. Kawasannya yang seluas 14 ekar dengan adanya empat baris tangga untuk memasuki kuil menerusi ratusan anak tangga yang berwarna-warni serta patung berwarna emas Dewa Murugan setinggi 42.7 meter iaitu yang tertinggi di dunia.
Sudah tentu terdapat lebih banyak tempat yang lebih menarik semasa Thaipusam selain dari Batu Caves. Little India juga dihidupkan dengan warna warni perayaan di sepanjang kejiranan.