Siapa yang lahir pada tahun 90-an, mesti tahu tentang filem XX Ray yang diarahkan dan juga dilakonkan oleh pengarah Aziz M. Osman. Filem ini boleh dikatakan antara percubaan awal pengarah tempatan untuk menerbitkan filem fiksyen sains yang terawal.
Filem pertama XX Ray telah keluar panggung pada 24 Disember 1992. Sekuel bagi filem ini, XX Ray II kemudiannya terbit pada tahun 1995. Kedua-dua file mini dilihat sebagai satu karya yang mendahului zaman kerana tak banyak filem bergenrekan fiksyen sains diterbitkan di Malaysia.
Selepas kejayaan filem XX Ray, sebuah drama bersiri yang merupakan spin off daripada filem asal telah diterbitkan dan ditayangkan di TV3 dalam slot Lestary. Siri ini dinamakan Misi XX Ray yang mempunyai dua siri; Misi XX Ray I (2006) dan Misi XX Ray II (2007).
Setelah hampir 24 tahun sejak filem XX Ray terakhir telah keluar panggung, Aziz m Osman kini dah kembali dengan filem sekuel ketiga dalam siri XX Ray pada tahun ini dengan XX Ray III yang akan ditayangkan pada 24 Januari ini.
Lebih Banyak Dikritik?
Sejak teaser pertama telah keluar Disember lalu, pelbagai reaksi dan komen telah dikeluarkan oleh warganet. Ada yang memuji, dan ada juga yang mengkritik dengan hebat terutama dari segi kesan khas yang digunakan.
Dikatakan kesan khas yang digunakan dalam filem ni kurang berkualiti dan agak ketinggalan. Ini dah pun dijelaskan oleh Aziz M. Osman sendiri yang mengakui kelemahan dari segi kesan khas yang digunakan.
Beliau berkata, kekurangan itu cuba ditampung oleh jalan ceritanya yang menurutnya lebih menarik dan segar.
“Kesimpulannya, penonton kita faham dengan situasi ini. Saya faham dengan kekurangan pada XX Ray III ini dan kami cuba sedaya upaya memberi apa yang mampu kami lakukan tapi yang penting sekali bukan tentang alat tapi bagaimana penceritaan terutama pembangunan karakter, itu yang saya ketengahkan.
“Jika ada rezeki filem ini dapat sambutan, insha Allah kita lanjutkan dengan XX Ray 4 dengan tajuk lebih baik,” katanya.
Kelemahan Awal?
Menerusi saluran Youtube Movie Addict Malaysia, klip yang berdurasi 9 minit yang merupakan babak awal filem XX Ray III telah dimuat naik. Dalam klip awal ini pun dah boleh dilihat ada benda yang tak kena (banyak sebenarnya).
Sebagi contoh, dalam babak Aziz sendiri yang cuba menyiasat tapak di mana sebuah tahi bintang telah terhempas dan dihalang oleh sekumpulan polis. Yang pelilknya, anggota polis tersebut memakai seragam polis yang baharu berbanding latar masa yang diperkenalkan adalah pada tahun 1996.
Kelemahan Yang Akan Spoilkan Filem?
Dalam tempoh 9 minit awal filem XX Ray III ini, masih ada warganet yang tidak faham akan jalan penceritaan dan ditambah dengan beberapa kelemahan yang boleh dikesan pada babak awal.
Tak seperti tahun 2018 yang menyaksikan banyak filem tempatan yang memasuki panggung dan ada di antaranya dah pecah panggung, tahun ni agak perlahan dan ini boleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Aziz M. Osman untuk memikat hati penonton dengan hasilnya ini.
Adakah ini akan menjadi antara filem yang akan pecah panggung atau pun filem ini akan terbuang di senarai filem yang membazir dan tidak akan diterima oleh penonton? Masih terlalu awal nak nilaikan dan keseluruhan filem harus ditionton untuk mengetahuinya!