Bayi seramai 231 di Terengganu dikesan tidak menerima suntikan vaksin ekoran tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka sepanjang tahun 2018.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh.

Menurutnya, 228 daripada 231 bayi tersebut berbangsa Melayu dan kebanyakan ibu yang menolak suntikan vaksin ini ialah suri rumah iaitu seramai 158 orang.

Jumlah tersebut dikesan kerana mereka hadir ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan biasa bayi seperti menimbang berat bayi, mengukur ketinggian atau mengetahui perkembangan bayi, namun mereka menolak untuk bayi disuntik vaksin.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai bayi yang tidak menerima suntikan vaksin di Terengganu kerana data yang diperoleh hanya daripada ibu bapa yang datang ke klinik kesihatan milik kerajaan sahaja.

BACA JUGA :   Alami trauma melampau akibat dibuli 12 pelajar

Kata Dr Mohd, walaupun jumlah ibu bapa yang menolak vaksin itu sangat kecil berbanding kelahiran purata 25,000 bayi setiap tahun di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius perkara ini.

Jelas beliau, kebanyakan ibu bapa menolak vaksin kerana tidak yakin dengan status halal dan keselamatan vaksin sedangkan perkara itu sudah dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan bahawa vaksin yang digunakan adalah halal dan selamat.

Dr Mohd turut berkata 3,645 penduduk Terengganu disahkan mengidap kanser dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2011.

Tiga jenis kanser utama dalam kalangan lelaki di Terengganu adalah kanser paru-paru (18.8 peratus) diikuti kanser usus (13.6 peratus) dan kanser hati (9.4 peratus), manakala bagi wanita, kanser payudara adalah kanser tertinggi direkodkan iaitu 27 peratus diikuti kanser usus besar (8.9 peratus) dan kanser ovari (8.8 peratus).

BACA JUGA :   Kesilapan Penjagaan Kulit Ketika Musim Panas

Jabatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa membuat saringan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta kerana saringan awal mampu mencegah penyakit kanser.

 

Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here