Hulu Langat, 25 Feb 2019 – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan panggilan ‘bossku’ bukan merujuk kepada dirinya, sebaliknya merujuk kepada rakyat.
Beliau berkata istilah “bos” lazimnya digunakan dalam slang vernakular Sabahan untuk menunjukkan seorang kawan.
“Bila kata bossku pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata bosku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita,” katanya dalam ceramah beliau.
Ini kali pertama Najib memperjelaskan maksud sebenar slogan ‘Bossku’ kepada umum.Fenomena ‘Bossku’ dan ‘Malu Apa Bossku’ kini trending di media sosial dan rakyat negara ini.
“Pemimpin Barisan Nasional (BN) mesti sedar rakyat adalah bos kita. Jangan kita sombong. Jangan ego. Mesti faham bahawa rakyat akan tentukan masa depan kita. Bila kita ada ucapan malu apa bossku, malu apa tu bukannya makna tak ada rasa malu. Kalau kita ada kereta kecil pun kita tak patut rasa malu. Kita bersyukur atas apa yang kita dapat dalam tangan kita,” katanya.
Tambah Najib, beliau berasa bangga sebab mendapat sokongan luar biasa.
“Masa saya jadi Perdana Menteri tak macam ni. Saya pun pening. Patutnya jadi perdana menteri dapat hebat sokongan, tapi tak jadi Perdana Menteri lagi hebat,” ujarnya.
Bossku atau bosku merupakan bahasa slanga yang kini digunakan oleh kalangan anak-anak muda terutama golongan bermotosikal.