Misteri wanita bertudung yang sedang melakukan pemeriksaan ke atas pemain Liverpool dilihat dalam sebuah video rasmi kelab Liverpool yang berdurasi 10 minit yang tular telah terjawab.
Wanita yang bertudung pink dan memakai T-shirt putih di dalam video tersebut pada minit 5:10 saat itu merupakan seorang rakyat Malaysia yang kini melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fisiologi kardiovaskular di Universiti Liverpool John Moores.
Alea Ellie atau nama sebenarnya Aleah Mohammad, 37, memulakan pengajiannya pada 2015 dan mula terlibat dalam ujian saringan kelab terkemuka itu.
Kelibat Alea dalam video Inside Training: Energy-sapping bleep tests| Keita, Fabinho & Milner tersebut mendapat tontonan melebihi dua juta serta pujian dari netizen termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Apa yang menarik perhatian, Alea ini sebenarnya salah seorang penyokong Manchester United (MU).
Rata-rata netizen memuji Alea kerana kesanggupan beliau untuk berkhidmat dengan pasukan Liverpool walaupun dia sebenarnya penyokong MU.
Alea meraih rasa hormat dari netizen kerana seorang wanita Malaysia mampu untuk berada dalam kalangan keluarga Liverpool.
Alea melalui status di laman Facebooknya, menzahirkan rasa terima kasih buat rakyat Malaysia yang mendoakan serta ucapan tahniah yang diberikan kepadanya.
Dia juga turut berharap agar kisahnya ini menjadi inspirasi buat semua untuk mencipta kejayaan yang lebih besar.
Tahniah anak Malaysia! Anda telah membanggakan Malaysia!