MANUSIA belum bersedia untuk menghadapi ribut solar yang besar seperti yang pernah melanda bumi lebih 2,500 tahun lalu.
Sekumpulan saintis yang membuat kajian berhubung perkara ini mendapati, unsur-unsur radioaktif yang dilepaskan oleh ribut solar pada 660 sebelum masihi telah ditemui di Greenland.
“Sekiranya ribut solar seperti itu berlaku, ia akan memberi kesan yang teruk pada masyarakat berteknologi tinggi hari ini,” kata Raimund Muscheler yang juga profesor geologi di Lund University, Sweden.
Muscheler berkata, ribut solar akan menyebabkan gangguan yang teruk pada peralatan teknologi berasaskan satelit, komunikasi radio frekuensi tinggi dan sistem navigasi.
Para penyelidik telah mengawasi pembentukan ribut solar sejak tahun 1950-an untuk memahami jenis risiko yang dibawa apabila ia berlaku.
“Kita mesti meningkatkan perlindungan dan pengetahuan masyarakat terhadap ribut solar.
“Hasil penyelidikan kami mendapati risiko ribut solar dipandang remeh. Kita perlu pelan persediaan yang lebih baik,” kata Muscheler lagi.
Ribut solar ialah satu keadaan gangguan pada matahari yang menjejaskan seluruh sistem suria termasuk bumi.
Hasil penyelidikan itu telah diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.