Serbuk kunyit seperti yang kita ketahui sering digunakan dalam rencah masakan. Ia sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat lain termasuk sebagai bahan kecantikan yang sering digunakan oleh kaum wanita yang mampu merawat kesan jerawat.
Tetapi, tahukah anda serbuk kunyit ini juga boleh digunakan bagi mengubati haiwan?
Terbaharu, pihak Adabi Consumer dengan kerjasama pihak Zoo Negara telah ‘memandikan’ seekor gajah di Zoo Negara dengan serbuk kunyit bagi tujuan khasiat tambahan kepada kulit haiwan tersebut, kira-kira 9 pagi semalam.
Gajah tersebut telah dilumurkan dengan kunyit pada keseluruhan badannya. Sebanyak 7 kilogram serbuk kunyit Adabi telah digunakan untuk dilumurkan pada gajah tersebut.
Lumuran kunyit tersebut kemudiannya dibiarkan seketika pada badan gajah agar khasiat kunyit tersebut meresap ke dalam badan gajah.
Antara kebaikan yang diperoleh daripada serbuk kunyit ini adalah ia dapat merawat luka kecil, merawat gigitan serangga, bertindak sebagai anti-septic pada kulit serta sebagai agen pemulih kulit.
Menurut pihak Zoo Negara, kaedah melumur kunyit pada kulit gajah ini sebenarnya telah lama dipraktikkan di setiap zoo kerana khasiat semula jadinya yang baik untuk gajah.