DIRASAH KHASSAH (KELAS PERSEDIAAN)
Kelas Persediaan sebelum ke Maahad Buuth tidak terikat dengan masa yang tertentu, mengikut kebolehan dan kecekapan seseorang pelajar dalam temuduga khas yang dijalankan oleh pihak Maahad. Peringkat perlajaran ini menetapkan agar para pelajarnya menghafal sekurang – kurangnya tiga (3) juzu’ al Quran bermula Juz 28, 29 dan 30.
Peringkat Pengajian Dirassah Khassah terbahagi kepada tiga :
1. Mustawa Awwal
2. Mustawa Thani
3. Mustawa Thalith
Kebaikan memasuki Kelas pengajian Dirasah Khassah, anda akan diberikan peluang merasai gambaran pengajian di peringkat I’dadi sebelum memasuki peperiksaan Imtihan Qabul yang akan diadakan sekitar bulan September hingga Disember (tempoh pendaftaran bagi pelajar baru). Kebiasaannya, bagi pelajar yang sudah berpengalaman di peringkat ini akan mampu menjimatkan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun di peringkat I’dadi kerana akan diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan tahdid mustawa (lompat kelas) ke peingkat yang lebih tinggi mengikut tahap kemampuan masing – masing.
Tempoh pengajian di peringkat ini tidak terikat dengan suatu tempoh yang ditetapkan bergantung kepada tarikh Ujian Kelayakan (imtihan qabul) ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
I’DADI (TAHAP MENENGAH RENDAH)
Pengajian di peringkat ini sangat luas termasuk pembelajaran subjek akademik seperti Matematik, Geografi, Sains, Sejarah dan sebagainya. Bahasa pengantar pembelajaran menggunakan bahasa utama, Bahasa Arab. Oleh sebab itu, para pelajar (luar Mesir) yang memegang Sijil Pengajian Buuth akan diberikan peluang sambung pengajian ke peringkat Kuliyyah dengan pengkhususan yang lebih besar daripada pemegang sijil STAM atau sebagainya termasuk kejuruteraan dan sebagainya.
Peringkat Pengajian I’dadi terbahagi kepada tiga :
1. I’dadi Awwal
2. I’dadi Thani
3. I’dadi Thalith
THANAWI (TAHAP MENENGAH ATAS)
Pengajian di peringkat ini lebih khusus kepada mata pelajaran Ad Diniah (agama). Para pelajar didedahkan dengan asas pengajian di peringkat Universiti Al-Azhar. Kebiasaannya, para pelajar yang Berjaya melepasi peringkat Thanawi di Maahad Buuth Islamiyyah akan mampu menempa kejayaan di peringkat kuliyyah kerana mereka sudah biasa dengan mata pelajaran asasi dan memahami teknik pembelajaran bersama para masyayeikh Azhar.
Peringkat Pengajian Thanawi terbahagi kepada tiga :
1. Thanawi Awwal
2. Thanawi Thani
3. Thanawi Thalith