Malaysia akan membina kilang vaksin halal pertama di dunia di Negeri Sembilan yang bakal menempatkan Malaysia sebagai peserta antarabangsa dalam pengeluaran vaksin.
Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata usaha pembangunan kilang tersebut mengambil masa yang agak lama, namun yakin penyediaan kemudahan ini akan dapat memacu pengeluaran vaksin pada masa hadapan.
Dengan pembinaan kilang vaksin halal tersebut, pihaknya mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa kerana vaksin yang dihasilkan dari kilang tersebut adalah halal.
Menurutnya, vaksin yang halal yang telah dilakukan kajian terperinci sememangnya sudah ada dan pihaknya sedang dalam proses untuk membina kilang vaksin halal pertama dalam dunia.
Inisiatif ini merupakan satu langkah yang baik sekiranya Malaysia dapat membina kilang halal kerana ia akan memberi alternatif kepada ibu bapa kerana ia halal dan dari Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut akan terlibat dalam menubuhkan fatwa berkenaan suntikan vaksin imunisasi kanak-kanak yang menjadi isu hangat dalam kalangan ibu bapa.
Cadangan ini turut disarankan oleh beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan IMedik Malaysia menyarankan langkah ini dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.
Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang meninggal dunia minggu lalu akibat difteria dan disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin.
Laporan terbaru turut mendedahkan dua orang lagi mangsa baru difteria, masing-masing melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun serta seorang remaja berusia 15 tahun.