TUN Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Lee Chong Wei.
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, semalam.
Menerusi catatan di laman sosial Instagram beliau hari ini, Perdana Menteri melahirkan rasa terharu dan sedih kerana Chong Wei sudah bersara dan berharap jaguh badminton itu dapat berehat serta sembuh daripada penyakit dihadapinya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei kerana berjaya meletakkan Malaysia sebagai juara sukan dunia apabila menjadi juara berkali-kali. Kami pasti akan merasai kehilangan jaguh yang terpaksa bersara demi kesihatannya,” katanya.
Dr Siti Hasmah pula berkata, beliau menyokong keputusan Chong Wei kerana kesihatan lebih penting, begitu juga masa untuk jaguh berkenaan bersama dengan keluarga, isteri dan dua anak mereka.
“Saya percaya Chong Wei akan dapat meluangkan masa melatih anaknya bermain badminton, seterusnya bergelar juara dan merangkul pingat emas Olimpik seperti yang beliau idamkan, tetapi tidak dapat ditunaikan.
“Saya berdoa semoga kesihatan Chong Wei bertambah baik, diberkati dan bergembira dengan keluarga dan selamat maju jaya. Terima kasih atas sumbangan selama ini yang diberikan kepada negara ini,” katanya.
Dr Siti Hasmah pernah menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1990-an, era yang menyaksikan negara muncul juara Piala Thomas pada 1992.
Chong Wei yang mengumumkan persaraannya semalam selepas 19 tahun bergelar pemain profesional, berjaya menghimpun 46 koleksi gelaran Siri Super sehingga diangkat sebagai Raja Siri Super, namun terus gagal memenangi gelaran dunia dan pingat emas Olimpik.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu, berkata beliau mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga termasuk merancang membawa isterinya berbulan madu selepas tertangguh sejak berkahwin pada 2012.
Bekas pemain nombor 1 dunia itu yang disahkan menghidap penyakit kanser hidung tahun lalu, berkata keputusan berkenaan diambil selepas pemeriksaan perubatan terbaru dilakukan di Taiwan.
Credit: Berita Harian, Rohaniza Idris