Anda mungkin biasa dengan nama ESCAPE Adventure Park Penang iaitu taman tema yang berkelas dunia di Pulau Pinang yang telah dibuka sejak November 2012. Kemudian pada tahun 2017, taman tema tersebut dikembangkan kepada ESCAPE Waterpark. Jika anda masih baru ke Pulau Pinang, pulau kecil ini mempunyai taman tema yang hebat. Ia terletak di Teluk Bahang, hujung Pulau Pinang. ESCAPE Pulau Pinang adalah taman tema yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar dan dibina dalam persekitaran semula jadi.
Taman tema ini adalah hasil idea dan kreativiti rakyat Malaysia iaitu Sim Choo Kheng. Beliau sangat berpengalaman menjadi perunding Taman Tema selama lebih 20 tahun. Antara hasil tangannya adalah Universal Studio Singapore, Legoland Malaysia dan Denmark, Lost Paradise Bahrain, Taman Tema Air Dubai dan sebagainya. Baiklah cukup dengan ‘intro’ pengasas Taman Tema ini. Mari kita lihat pula kepada tarikan terbaru taman tema ini iaitu Gelongsor Air terpanjang di dunia yang bakal dibuka pada bulan Ogos 2019 ini.
Sebelum ini taman tema tersebut mempunyai satu gelongsor air sedia ada sepanjang 300 meter yang telah dilancarkan pada 2018 dan dijangka pada bulan Ogos 2019 bakal dilancarkan pula gelongsor air yang berukuran 1,140 m gelongsor air yang sudah siap 80 peratus. Gelongsor air Taman Tema Escape di Pulau Pinang akan memecahkan rekod gelongsor air Taman Tema di New Jersey yang panjangnya 602m.
Jadi gelongsor air Taman Tema ESCAPE ini dijangka menjadi yang terpanjang di dunia dan mungkin akan masuk ke Guinness Book of Records! Pengunjung akan turun dari puncak bukit dan menyeberangi Jalan Teluk Bahang ke jambatan penggantungan dan berakhir di taman tema air. Gelongsor ini mengambil masa 4 minit untuk sampai ke penghujungnya. Jangan bimbang, langkah keselamatan, keselamatan dan pemeriksaan akan dijalankan sebelum pelancaran, keselamatan anda adalah keutamaan mereka.