Senam sekejap banyak faedah

0
1166

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini menyarankan, setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman 15 minit sehari menerusi program X-Break dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat.

Cadangan aktiviti kecergasan itu dilangsungkan pada waktu pagi dan petang. Jika dilaksanakan secara konsisten, amalan itu dipercayai dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit, meningkatkan kekuatan dan fleksibiliti otot malah paling utama, penting dalam menangani obesiti.

Ia juga selaras dengan gaya hidup rakyat negara ini yang berdasarkan Kajian Morbiditi Kebangsaan 2015, mendapati lebih 40 peratus golongan dewasa tidak aktif dan kurang bersenam hingga berisiko mengalami masalah berat badan berlebihan.

Sedangkan semua orang tahu dengan pertambahan usia, bertambah juga risiko untuk kita menghidap penyakit sedangkan banyak penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup boleh dicegah dengan mengamalkan hidup aktif dan disertakan pemakanan seimbang.

Senaman mudah selama 15 minit atau aktiviti luar baik berjalan pantas, larian mahupun berbasikal boleh meningkatkan rintangan seseorang terhadap penyakit.

Dalam penemuan terbaharu yang disiarkan dalam jurnal kesihatan, Aging Cell mendapati sekumpulan 125 penunggang basikal berusia 55 tahun hingga 79 tahun yang aktif mengayuh pada jarak jauh mampu merangsang sel aktif melawan jangkitan sistem imun, sel T.

BACA JUGA :   Salah Faham Masyarakat Terhadap Pelajar Lepasan Luar Negara

Sel T penting dalam melawan penyakit dan biasanya, pertumbuhan sel berkurangan seiring dengan peningkatan usia, namun dalam kajian berkenaan mendapati sebaliknya.

Menurut pengkaji yang juga Pengarah Institute of Inflammation and Ageing di University of Birmingham, United Kingdom, Prof Janet Lord, pengurangan pertumbuhan sel penting itu bermula pada usia 20-an.

“Sistem imun menyusut sekitar dua hingga tiga peratus setiap tahun sejak usia muda iaitu 20 tahun dan ia juga antara faktor mengapa kita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila usia semakin tua.

“Sel T dihasilkan oleh kelenjar timus yang memainkan peranan penting dalam sistem imun manusia dan penghasilan sel ini akan menyusut seiring peningkatan usia khususnya selepas umur 20 tahun.

“Tanpa disedari pada usia separa abad, bilangannya hanya tinggal sekitar 15 peratus dan sel T penting dalam menyerang sebarang antigen yang boleh mengancam sistem pertahanan tubuh terhadap penyakit,” katanya.

BACA JUGA :   Tips Hebat Untuk Elakkan Anak Menangis Sebelum Masuk Sekolah!

Kajian terhadap kumpulan penunggang basikal itu mendapati, mereka berupaya menghasilkan sel T seperti orang muda yang berumur 20-an dan lebih baik berbanding individu berusia 20-an yang tidak aktif.

Secara tidak langsung penemuan itu mengukuhkan lagi banyak kajian terdahulu dan saranan yang diberikan pakar perubatan untuk semua orang melakukan aktiviti jasmani seperti berbasikal kerana dapat membantu badan kita memberi reaksi lebih positif terhadap vaksin selain menjadi ‘perisai semula jadi’ menghadapi sebarang pelbagai jangkitan penyakit yang lazim.

Tidak sekadar me­miliki imun seperti individu berusia 20 tahun, bahkan mereka juga menambah perlindungan terhadap serangan penyakit lain seperti sakit sendi, reumatoid artritis mahupun kanser. Malah dengan bersenam dan menjaga pemakanan, kita juga merendahkan risiko menghidap banyak penyakit kronik lain termasuk penyakit jantung dan strok. Maka, tunggu apa lagi, mulakan langkah atau kayuhan anda!

Boleh dapatkan artikel penuh di Sini

cc : Nurul Husna Mahmud


Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here