BAGI menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi, dua beradik dari Pasir Mas ini mencipta keunikan dengan menghasilkan tanjak Jalur Gemilang.
Mohd Ridzuan Hassan, 37, berkata, dia tidak mahu ketinggalan dalam menzahirkan kecintaan terhadap negara dengan mencipta rekaan unik itu dan menarik bertemakan Hari Kebangsaan.
Katanya, idea untuk menghasilkan tanjak Jalur Gemilang tercetus apabila melihat pelbagai rekaan tudung bermotifkan kemerdekaan dijual serta mendapat permintaan tinggi terutamanya ketika sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.
“Tanjak yang saya hasilkan ini menggunakan kain tudung bawal berbentuk empat segi bermotifkan Jalur Gemilang yang dibeli daripada pemborong yang kemudian diinovasi menjadi tanjak.
“Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, saya menjahit sendiri tanjak ini dan dalam sehari mampu menyiapkan satu atau dua tanjak bergantung kepada waktu kelapangan yang ada memandangkan saya juga mempunyai tuntutan kerja sebagai pelukis pelan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia mula membuat tanjak pada 2014 untuk dipakai adik-beradik lelaki pada hari raya bagi mencari kelainan hingga ada yang berminat membelinya.
“Pada 2016, saya menuntut ilmu membuat tanjak daripada seorang guru yang pakar dalam pembuatan tanjak dan hingga kini masih lagi mempelajarinya,” katanya.
Mohd Ridzuan berkata, dia mula menjual tanjaknya di Facebook sejak awal bulan ini dengan bantuan abang, Mohd Zainudin Hassan, 41.
“Saya menjual tanjak serendah RM80 hingga RM250 bergantung kepada jenis material dan kehendak pelanggan.
“Alhamdulillah, hingga kini saya mendapat sekurang-kurangnya 20 tempahan tanjak Jalur Gemilang untuk disiapkan sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya.
Boleh dapatkan artikel penuh di sini