Isu mental illness bukan lagi satu isu baru di Malaysia. Kebanyakan pesakit ini memerlukan sokongan yang padu dari masyarakat di samping turut perlu bergantung kepada ubat-ubatan. Tambah menyedihkan, masyarakat gemar meminggirkan golongan ini dan beranggapan mereka tidak layak berada dalam rantaian masyarakat disebabkan kelainan yang dimiliki. Bagi mereka, isu penyakit mental ini hanya remeh dan tidak perlu diberikan perhatian mendalam.
Filem terbaru terbitan Pencil Pictures & Records iaitu Aku Bukan Gila arahan Rahila Ali memilih untuk mengetengahkan isu penyakit mental ini iaitu Bipolar Disorder. Filem berunsurkan isu sensitif ini dibawakan oleh pelakon hebat tanah air iaitu Beto Kusyairy dan juga Fasha Sandha. Penggambaran hanya memakan masa 10 hari sahaja dan dilakukan sebelum tempoh PKP lagi.
Memilih North Wales dan Malaysia sebagai lokasi penggambaran, jalan cerita filem ini menggambarkan bagaimana penghidap Bipolar Disorder melalui tempoh sukar dengan pelbagai dugaan hidup. Cerita dimulakan dengan Adra (Fasha Sanda) yang menjalani rawatan preskrisi bersama doktor. Adra adalah anak tunggal yang kematian ibunya. Bapanya pula terlalu sibuk sehinggakan tidak mampu memberikan sepenuh perhatian kepada anaknya.
Adra memilih North Wales untuk mencari ketenangan hidup. Cintakan alam semulajadi seperti sungai dan gunung-ganang, dia berjumpa dengan Andre secara tidak sengaja. Pertemuan pertama dimulakan dengan sedikit salah faham hingga membawa kepada pertemuan-pertemua seterusnya.
Andre lakonan Beto Kusyairy disifatkan sebagai seorang yang panas baran yang tidak mampu mengawal emosinya sendiri. Berbeza dengan Adra yang ceria dan kadangkala sensitif. Gandingan hebat mereka mampu mengolah bagaimana seorang penghidap Bipolar Disorder mampu menjalani kehidupan yang bergantung kepada ubatan-ubatan.
Konflik keluarga juga diangkat dalam filem ini. Namun, penceritaan yang agak perlahan di pertengahan filem menyebabkan motif utama yang ingin disampaikan agak kurang jelas. Peranan doktor juga terlalu klise dengan hanya bertanyakan mengenai emosi dan sebagainya sahaja. Namun perlu diberi pujian untuk pihak produksi kerana berjaya membawakan simptom-simptom yang dihadapi oleh seorang penghidap Bipolar Disorder.
Filem ini secara rasmi boleh ditonton secara percuma di Iflix bermula 6 Oktober lalu. Deenamik juga telah dijemput untuk turut serta dalam majlis pelancaran Trailer perdana yang bertempat di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur. Tonton majlis pelancaran di youtube channel di bawah. Jangan lupa subscribe!