Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Mid Valley Megamall dan juga The Garden Mall, terdapat satu kes positif COVID-19 di pusat membeli – belah berkenaan yang terletak di Kuala Lumpur.Kes tersebut melibatkan satu staf yang bekerja di sebuah kedai jualan penjagaan kulit. Staf tersebut bekerja di London Sales Cosmetics (LSC) Sdn Bhd.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sehingga 11 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat sebanyak 561 kes baharu telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 15,657 kes. Di Kuala Lumpur terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan semalam.
Syarikat LSC menguruskan Origani dan Élévatione Time Stops di The Garden Mall dan Surreal by Élévatione Time Stops di Mid Valley Megamall. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan, staf berkenaan telah memaklumkan kepada pihak pengurusan LSC bahawa salah seorang daripada ahli keluarganya terdedah kepada virus berkenaan.
Staf tersebut memaklumkan hal berkenaan pada 9 Oktober lalu dan bertindak mengasingkan dirinya secara kuarantin kendiri. Beliau juga melakukan ujian saringan dan telah disahkan positif COVID-19 pada 10 Oktober lepas. Menurutnya lagi, staf berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala dan simptom.
Keputusan ujian tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Mid Valley Megamall dan The Garden Mall pada 11 Oktober semalam. Sejurus dengan maklumat berkenaan ketiga – tiga kedai berkenaan telah pun diarahkan untuk tutup sehingga notis yang selanjutnya. Kerja – kerja untuk membasmi kuman telah dilakukan di tiga – tiga kedai berkenaan.
Menurut pihak pengurusan, para pelanggan, penyewa kedai dan mereka yang telah berkunjung ke Mid Valley dan The Gardens untuk mengambil langkah pencegahan dan sering menjaga kebersihan masing – masing. Pihak yang berkaitan akan terus mengawasi keadaan secara dekat dengan pihak berkuasa dan akan memberikan kemas kini jika perlu.