Semalam, 30 Disember 2020, warganet kecoh dengan gambar-bambar yang telah disunting menggunakan wajah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq. Perkara ini berpunca daripada tindakan Syed Saddiq yang telah menunaikan janjinya untuk membotakkan kepala sekiranya derma yang dipungut mencapai sasaran.
Syed Saddiq yang juga merupakan seorang pengerusi bagi persatuan MUDA ini dilihat telah menjalankan nazarnya untuk membotakkan kepala beliau. Sesi mencukur rambut tersebut telah disiarkan di stesen televisyen tempatan semalam.
Dimulakan dengan Bismillah ibu Syed Saddiq (Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz) mula menggunting rambut anaknya dan kemudian disambung oleh penggunting rambut profesional.
Syed Saddiq melakukan perkara tersebut kerana beliau telah berjaya mengumpul pungutan derma daripada orang ramai sebanyak RM 383,000. Angka tersebut adalah lebih banyak berbanding angka yang dijangka iaitu RM 200,000.
Kutipan tersebut akan digunakan untuk membeli komputer riba dan didermakan kepada golongan yang memerlukan. Komputer riba tersebut akan diedarkan kepada golongan keluarga berpendapatan RM 1,500 ke bawah yang mempunyai anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di sekitar daerah Muar.
Kempen #1keluarga1laptop tersebut telah mendapat sambutan daripada warga Malaysia. Jumlah sumbangan yang dikutip mencapai sasaran dalam hanya lima hari.
Sumber : BERNAMA, Twitter Rasmi Syed Saddiq