Sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah dan Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah telah berjaya menumbangkan dua tahun operasi pemprosesan kayu karas secara haram di Seri Kembangan. Setelah beberapa siri risikan dan intipan terhadap premis tersebut, pihak polis akhirnya berjaya untuk merampas sekitar RM 2 juta bahan rampasan.
Bahan rampasan tersebut meliputi 10 batang pokok kayu karas, 16 guni habuk kayu, 37 botol cecair cuka getah dan 10 kulit kayu gaharu. Nilai peralatan yang digunakan oleh premis berkenaan tidak termasuk dalam jumlah nilai rampasan.
Kayu karas yang ada dikatakan boleh menghasilkan tiga produk berbeza seperti minyak gaharu, arca dan colok. Kayu yang tidak dapat dijadikan minyak akan dijadikan bongkah arca dan serbuk kayu yang terhasil akan dimampatkan untuk menjadi colok.
Laporan menunjukkan bahawa premis ini berselindung di sebalik kedai memproses cuka kayu getah. Premis ini memiliki lesen untuk kegiatan tersebut namun tidak pada pemprosesan kayu karas. Kegiatan ini telah dilakukan sejak tahun 2018.
Pihak polis bertindak hasil daripada makluman orang awam yang telah membuat laporan pada Oktober lalu. Orang awam memberitahu mereka menghidu bau kayu selain berasa curiga dengan kegiatan yang dilakukan oleh premis berkenaan.
Dengan makluman yang diberikan, pihak polis telah melakukan risikan di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. Namun begitu, risikan selama tiga minggu itu tidak mendatangkan apa-apa hasil atau kecurigaan.
Disebabkan itu, tindakan susulan ke atas premis telah dilakukan. Intipan dilakukan lebih daripada seminggu. Hasil daripada serbuan itu, pihak polis menahan pemilik permis berkenaan dan juga pekerja di bawahnya. Pemilik premis adalah warganegara manakala pekerja ialah sepasang suami isteri warga asing. Terdapat juga dua orang penjaga warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.
Kegagalan pemilik mempamerkan dokumen kebenaran untuk membawa keluar hasil hutan menjadi faktor utama kes ini akan disiasat dengan lebih lanjut. Pihak polis akan menyiasat dari mana bekalan pokok yang telah diperoleh premis untuk menjalankan kegiatan berkenaan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Sumber : Malaysia Gazette