Pelaburan dan perdagangan merupakan salah satu sektor penting dalam ekonomi tidak mengira negara. Ia juga boleh melibatkan kumpulan individu yang melabur dan berdagang. Tidak dinafikan kecukupan ilmu di dalam bidang ini adalah sangat perlu supaya ia tidak memberikan penyesalan atau kerugian di masa akan datang. Oleh yang demikian, perkara yang menjadi buah mulut orang ramai pada kali ini adalah berkenaan Bitcoin atau mata wang kripto.
Apa itu mata wang Kripto?
Mata Wang Kripto atau cryprocurrency merupakan mata wang digital yang semakin lama mempunyai pengaruhnya yang tersendiri pada masa kini. Di Malaysia, ia sudah diperkenalkan sekitar tahun 2010 dan mula mendapat perhatian sekitar tahun 2015 sehingga kini. Berbeza dengan wang tunai yang boleh dilihat dan disentuh, mata wang kripto adalah aset digital yang membawa fungsi sebagai medium pertukaran menggunakan teknologi kriptografi.
Konsep mata wang Kripto
Mata wang ini juga boleh diperkenalkan sebagai aset digital yang mempunyai perjalanan seiring seperti pelaburan emas. Dalam kata mudah, pelaburan menerusi mata wang kripto boleh dikatakan serupa seperti pelaburan emas.
Apa yang membezakan kedua-duanya adalah emas bersifat fizikal manakala mata wang kripto bersifat digital. Konsepnya sama seperti membeli emas dan menyimpannya lalu menjualnya semasa harganya meningkat. Tambahan daripada itu, mata wang ini tidak dikendalikan oleh mana-mana negara. Ia dijalankan menggunakan teknologi ‘blokchain’ di mana data transaksi yang pernah berlaku di antara kedua-dua belah pihak akan disimpan dan tidak boleh diubah. Oleh itu, keperluan komputer atau jaringan internet adalah diperlukan.
Dengan adanya kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap beberapa platform pelaburan mata wang kripto di Malaysia, ia telah menjadikan pelabur-pelabur tegar di Malaysia berminat untuk melakukan pelaburan mata wang kripto. Pelaburan mata wang ini juga mempunyai naik dan turunnya. Dengan kepercayaan yang telah diberikan, adalah tidak mustahil mata wang kripto ini akan menjadi salah satu medium dalam kaedah pembayaran.
Dengan penggunaan telefon pintar yang lebih kerap pada masa kini, kemungkinan mata wang kripto menjadi medium pembayaran untuk berjual beli barang atau perkhidmatan secara universal.
Sejarah coin: Bitcoin
Sebagai contoh, antara mata wang kripto yang terkenal pada masa kini adalah bitcoin. Sering kita dengar di dada-dada akhbar berkenaan kes jenayah yang melibatkan bitcoin, adapun begitu, jika ianya dijalankan secara sendiri tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak. Ia adalah sebuah pelaburan biasa yang sering dijalankan.
Bitcoin ini dihasilkan melalui proses mining (penempaan) yang mengambil jangka masa yang lama. Ia juga merupakan hasil daripada cara penyelesaian masalah dan formula matematik yang sepenuhnya menggunakan peralatan komputer. Menurut Satoshi Nakamoto (pengasas bitcoin), bitcoin dicipta berasaskan transaksi pembayaran terus dari satu pihak ke pihak lain tanpa perlu melalui institusi perbankan atau kewangan.
Dengan itu pelaburan melalui mata wang kripto adalah lebih fleksibel. Ia merupakan pelaburan aset yang dikendalikan sendiri yang memerlukan pelabur mempunyai akaun personal. Mempunyai pelbagai jenis coin yang ditawarkan, bitcoin adalah di antara coin yang terkenal. Antara cryptocurrency yang lain adalah seperti dot, altcoin, ethereum, binance coin dan lain-lain.
Kemampuan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda menerusi pelaburan atau perdagangan mata wang kripto adalah sangat tinggi. Adapun begitu, ia juga mempunyai risiko yang mungkin perlu dihadapi. Namun begitu, jika mempunyai ilmu yang mencukupi dan memahami apa yang terkandung di dalam permainan mata wang ini, keuntungan pasti akan dimiliki.