Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuat kunjungan ke Istana Pasir Pelangi bagi menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Turut menyertai majlis itu adalah anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang kini ahli Parlimen Permatang Pauh serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ramai pihak beranggapan bahawa tujuan Sultan Johor menjemput Anwar berkunjung ke Istana adalah bagi mengucapkan tahniah dan bertanyakan khabar kepada beliau yang baru sahaja dibebaskan setelah mendapat pengampunan diraja baru-baru ini.
Tambahan pula, negeri Johor kini sudah ditadbir oleh pembangkang buat pertama kali dalam sejarah sejak negara mencapai kemerdekaan. Jadi, adalah menjadi satu kemestian bagi Sultan Johor untuk menjalinkan hubungan baik dengan Ketua Umum PKR itu, demi kepentingan rakyat Johor khususnya.
Negeri itu kini dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dari Pakatan Harapan.

Sultan Johor juga mungkin memberikan nasihat kepada Anwar Ibrahim yang dijangka akan mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa sekurang-kurangnya 2 tahun akan datang.
Dilaporkan, pertemuan tertutup itu berlangsung selama lebih dua jam.
Selain Sultan Ibrahim, terdapat juga ramai tokoh hebat dari rantau ini yang telah datang menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dibebaskan dari penjara. Antaranya adalah bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Apa-apapun, semoga jalinan erat yang terjalin antara istana dengan parti yang memerintah akan dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat supaya terus makmur dan progresif.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com