Kerajaan Indonesia telah memberi jaminan untuk memudahkan urusan visa bagi pelajar Malaysia. Jaminan itu diberikan sendiri oleh Naib Presiden Indonesi Jusuf Kalla ketika kunjungan hormat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail sempena lawatan kerja sehariannya ke Indonesia hari ini. Berikutan terdapat 4,000 pelajar Malaysia yang sambung pelajar di Indonesia pada peringkat Universiti bidang perubatan khususnya.
“Isu permohonan visa sementara kita dapati sistemnya tidak selaras kerana terdapat sesetengah pihak atau ejen yang menawarkan harga yang berbeza (terutamanya pelajar) dan Naib Presiden Indonesia berkata akan mengambil tindakan selanjutnya atas isu ini dan berjanji akan mempermudahkan (urusan tersebut)” kata beliau dalam sidang media.
Dr. Wan Azizah juga dijangka akan bertemu Presiden Joko Widodo bagi membincangkan isu pendidikan anak-anak pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia dan tidak berdaftar. Kerajaan Indonesia juga ada meminta agar kanak-kanak terbabit diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan awal sekurangnya peringkat sekolah rendah. Dr Wan Azizah berkata, pihak kerajaan akan berbincang semula mengenai isu ini termasuk memberikan kurikulum kepada anak-anak Indonesia.
Melalui pertemuan dua hala ini, kedua-dua pemimpin ini turut menyentuh mengenai bantuan yang diberikan kepada mangsa tsunami di Sulawesi Tengah. Sebelum ini, kerajaan Malaysia turut membantu dengan menyumbang dana RM 1 juta pada peringkat awal gempa bumi di Palu, Sulawesi. Seterusnya, Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) yang dilancarkan 4 Oktober lalu dan berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM 75,000. Pertemuan ini diharap dapat memberikan kerjasama yang baik antara kedua-dua negara.