Solat Berjemaah Disifatkan Amalan Bodoh ?
Tindakan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang mewajibkan pelajar di seluruh kawasan berkenaan untuk solat berjemaah sebelum pulang daripada sekolah ternyata mendapat cemuhan daripada segelintir pihak.
Antara yang paling lantang menentang tindakan itu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkara yang menyusahkan pelajar dan mencerminkan mentaliti yang kolot.
Menurutnya, alasan bahawa amalan solat berjemaah mampu membina sahsiah para pelajar adalah mengarut dan tidak relevan sama sekali. Perkara ini juga tidak membantu masyarakat Melayu untuk lebih pintar belajar, memahami tanggungjawab peribadi atau mendidik masyarakat berdisiplin
“Ini adalah satu dari banyak lagi perkara bodoh yang pendidik kita sebarkan kepada pelajar kita, sia-sia sahaja. Nak bina sahsiah? Ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras”, ujarnya.
“Ajar mereka bersikap tegas dan sering melakukan pengorbanan. Tunjukkan mereka contoh tokoh masyarakat yang menunjukkan karakter yang kuat. Amalan keagamaan ini semua menyusahkan pelajar, yang sudahpun terbeban dengan banyak lagi amalan-amalan lain sedia ada,” tambah Datuk Zaid lagi.
Mengulas isu sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Mohd Khairil Anuar berkata, solat berjemaah bukanlah satu perkara yang menyusahkan pelajar ekoran waktu yang diluangkan hanyalah antara 7 hingga 10 minit sahaja.
Hari ini kita dapat lihat ramai ibu-bapa yang sibuk dengan urusan kerja sehingga terlalai dalam menasihati anak-anak mengenai kewajiban dalam agama. Dengan mengarahkan pelajar solat berjemaah, pihak sekolah dapat memastikan pelajar-pelajar melaksanakan perkara wajib yang merupakan tiang agama.
Jika dilihat dengan teliti, amalan solat berjemaah di sekolah akan membantu dalam membentuk semangat kebangsaan di dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa supaya memahami dan menghormati agama antara satu sama lain.
Selain itu, pihak sekolah juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar bukan Islam mengenai kewajiban bagi umat Islam supaya menjaga solat 5 waktu.
Kebanyakannya mungkin sudah tahu, tetapi langkah sedemikian akan membiasakan lagi mereka (bukan Islam) dengan perkara itu. Di mana lagi tempatnya untuk membentuk pelajar, kalau bukan di sekolah.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Buku-Buku Bestseller Idaman Anda Dengan Harga Termurah Di Malaysia!
Sumber:
Dipetik & diolah dari MD