Menjadi kebiasaan kita hari ini, kurang penelitian terhadap penjagaan telinga anda. Namun, tahukah anda bahawa penjagaan telinga adalah sama penting dengan penjagaan organ lain, seperti mata yang selalu diberikan perhatian dengan menjalani pemeriksaan doktor atau pakar.
Tidak ramai yang mahu menjalani ujian pendengaran, malah menyifatkan telinga tidak akan berlaku sebarang masalah sehinggalah berlaku sebaliknya.
Menurut tinjau selidik Nessa (penyedia penyelesaian penjagaan pendengaran) yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lepas, masalah pendengaran paling biasa yang dialami orang ramai ialah telinga berdengung (35 peratus), kesukaran untuk mendengar (25 peratus) dan selebihnya tidak pasti akan gejala-gejala yang dialami mereka.
Ketua Pegawai Operasi Nessa, Helder Araujo menjelaskan, ramai antara mereka yang mengesyaki atau diberitahu berlaku risiko kehilangan pendengaran, tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.
Kebanyakannya menggunakan kaedah sendiri seperti mengorek telinga dengan putik kapas atau menggunakan kaedah tradisional termasuk terapi lilin telinga, yang boleh memudaratkan telinga.
“Hampir 70 peratus rakyat Malaysia belum pernah menjalani ujian pendengaran. Malah, kebanyakan salah sangka bahawa ujian telinga dan pendengaran adalah sama.
“Jika mereka berasa mempunyai masalah pendengaran, 60 peratus akan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), manakala selebihnya akan mendapatkan rawatan dan pemeriksaan daripada doktor atau pengamal perubatan am.
“Sesetengahnya pula cuba mendapatkan alat bantuan pendengaran dari kedai atau menggunakan kaedah rawatan tradisional atau merawat sendiri.
“Hakikatnya, cara paling berkesan adalah pergi berjumpa ahli audiologi yang khususdalam pengurusan kehilangan pendengaran.
“Ahli audiologi ialah profesional terlatih yang mengukur atau mendiagnos isu-isu pendengaran atau kehilangan pendengaran dan layak untuk memasangkan alat bantuan pendengaran,” tegasnya.
Kata Araujo, kehilangan pendengaran adalah sebahagian daripada proses semula jadi dalam hidup apabila usia semakin meningkat. Justeru, adalah perlu menjalani pemeriksaan pendengaran setiap tahun, seperti mana kita menjalani pemeriksaan kesihatan badan dan mata.
Jelasnya, apabila kehilangan pendengaran disahkan, penyelesaiannya adalah dengan memakai alat bantuan pendengaran, biarpun ramai yang keberatan untuk mendapatkan alat berkenaan.
“Mengikut penyelidikan, 90 peratus daripada orang yang kehilangan pendengaran di Malaysia tidak menggunakan alat bantuan pendengaran walaupun masalah ini boleh membawa kesan fizikal dan psikologi ke atas kehidupan mereka.
“Usaha untuk memulihkan pendengaran boleh terkesan akibat tanggapan kurang tepat mengenai alat bantuan pendengaran yang dianggap mahal, atau kebimbangan akan dilabel sebagai ‘tua’ dan ‘kurang upaya.
“Sesetengahnya pernah mencuba alat bantuan pendengaran tetapi tidak mendapat kesan yang memuaskan. Ada pula yang mungkin telah membeli amplifier (penguat bunyi) yang boleh memburukkan lagi keadaan atau tidak tahu di mana untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran yang baik dan sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada peringkat global, seramai 360 juta orang (5.3 peratus) penduduk dunia) mengalami kehilangan pendengaran yang memudaratkan.
Dianggarkan bahawa lebih 25 juta orang di Asia Tenggara mengalami kehilangan pendengaran ‘yang boleh menjejaskan keupayaan’. Menurut Araujo, seorang daripada tiga orang menunjukkan tanda-tanda kehilangan pendengaran apabila mencapai usia 65 tahun, malah, 30 peratus daripada penduduk Malaysia berusia melebihi 60 tahun telah mengalami kehilangan pendengaran.
Malah, gaya hidup moden yang sentiasa mendedahkan kita kepada pencemaran bunyi menyebabkan usia kehilangan pendengaran semakin menurun.
Tabiat suka mendengar “earphone” semasa tidur dengan tahap pelarasan pendengaran yang kuat akan mengakibatkan telinga anda rosak atau anda mengalami kurang pendengaran.
Anda disarankan supaya mengambil berat terhadap penjagaan telinga anda. Telinga anda tiada galang gantinya. Hargai pemberian yang dimiliki sebelum nikmat ditarik balik.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Sumber: MyHEALTH