Perpustakaan merupakan satu tempat yang tidak asing lagi bagi para pencinta buku di luar sana. Ianya boleh disifatkan sebagai syurga buku kerana di sinilah peminat buku-buku boleh lemas dan rambang mata dalam keterujaan melihat koleksi-koleksi bahan bacaan.
Tanpa celoteh panjang, mari kita kenali 10 perpustakaan terbesar di dunia yang pastinya memukau mata anda.
1. Library of Congress, USA

Library of Congress ini telah ditubuhkan pada tahun 1800 di Washington, D.C. Merupakan perpustakaan yang terbesar di Amerika Syarikat, bangunan ini turut digunakan oleh Kongres Amerika untuk tujuan penyelidikan.
Bangunan besar ini mengumpulkan bahan bacaan dari serata dunia termasuklah 32 juta katalog buku dan bahan bercetak dalam 470 bahasa.
Meskipun tempat ini terbuka untuk menerima kunjungan daripada orang awam, hanya pegawai kerajaan yang berprofil tinggi sahaja mempunyai akses kepada buku-buku dan bahan bacaan dalam perpustakaan ini.
2. British Library, United Kingdom

Berfungsi sebagai perpustakaan kebangsaan United Kingdom yang bertapak di London, British Library ini ditubuhkan atas Akta Perpustakaan British sebagai satu entiti kemerdekaan pada Julai 1973.
British Library mempunyai koleksi hampir 170 juta buku, manuskrip, majalah, rakaman muzik, paten, pangkalan data dan bermacam-macam lagi. British Library juga menambah 3 juta bahan bacaan setahun yang memuatkan sebanyak 9.60 kilometer ruang rak buku.
Dapatkan Buku Best-Seller PBAKL17 Dengan Diskaun Sehingga 35% Hanya Di Daulah Online Bookstore!
Tambahan pula, perpustakaan ini sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung bagi menggunakan segala bahan bacaan yang terdapat di sini.
Satu fakta menarik, sekiranya anda membaca 5 buku sehari di sini, anda akan mengambil masa selama 80 000 tahun untuk mengkhatamkan seluruh koleksi.
3. New York Public Library, USA

Bangunan ini dibina pada tahun 1895 dan merupakan perpustakaan kedua terbesar di Amerika dengan mempunyai 91 cawangan. New York Public Library menerima kunjungan daripada 18 juta pelawat setiap tahun dan mempunyai kakitangan seramai 2,937 orang.
Di sini, terdapat kira-kira 53 juta koleksi bahan bacaan termasuklah buku-buku, rakaman muzik, album dan banyak lagi.
Hasil gabungan beberapa perpustakaan kecil dan besar melalui kerjasama antara pencinta buku dan jutawan-jutawan New York telah menghasilkan rangkaian perpustakaan ini yang dibiayai oleh institusi kerajaan dan swasta.
4. Library and Archives of Canada

Bangunan ini terletak di 395 Wellington Street, Ottawa dan ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan negara Canada.
Institusi ini bertugas untuk menjaga dokumentari-dokumentari warisan Canada dan memastikan ianya boleh diakses oleh rakyat negara tersebut.
Pada waktu ini, terdapat lebih kurang 54 juta koleksi bahan bacaan yang terdiri daripada 20 juta buku-buku, 24 juta gambar, arkib kerajaan dan swasta, majalah-majalah kaum Orang Asli, filem fiksyen dan bukan fiksyen serta pelbagai lagi.
Perpustakaan ini tertubuh pada tahun 2004 menerusi kerjasama yang termeterai di antara pihak Perpustakaan Kebangsaan Canada dan juga Arkib Kebangsaan Canada.
5. Russian State of Library

Bangunan ini ditubuhkan pada 1 Julai, 1862.
The Russian State Library turut mempunyai lebih daripada 275 kilometer rak buku yang menyimpan 43 juta bahan bacaan termasuk 17 juta buku, 13 juta jurnal, 150 ribu peta dan lain-lain lagi.
Dapatkan Buku Best-Seller PBAKL17 Dengan Diskaun Sehingga 35% Hanya Di Daulah Online Bookstore!
Bahan bacaan juga terdapat dalam 247 bahasa dan koleksi bahasa asing merangkumi 29 peratus daripada seluruh koleksi.
Perpustakaan ini terletak di ibu kota iaitu Moscow dan boleh diakses oleh orang awam secara percuma.
6. National Diet Library, Jepun

National Diet Library dibina pada tahun 1948 yang bertujuan untuk membantu penyelidikan yang berkaitan dengan bidang polisi awam.
Dengan dua kemudahan utama (Tokyo dan Kyoto) serta 27 cawangan di seluruh negara, ini adalah satu-satunya perpustakaan kebangsaan di Jepun.
National Diet Library mempunyai lapan koleksi khusus: politik moden dan sejarah perlembagaan, informasi pasca perang pendudukan Jepun, undang-undang dan rekod awal, peta, muzik, buku asing mengenai Jepun dan buku-buku yang disifatkan bernilai.
7. Bibliotheque Nationale de France

Perpustakaan kebangsaan negara Perancis ini terletak di Paris. Ianya ditubuhkan dengan tujuan untuk menyimpan salinan-salinan rekod di bawah pengawasan Kementerian Kebudayaan.
Dianggarkan 150 ribu dokumen ditambah setiap tahun kepada koleksi bahan bacaan. Kira-kira 1.3 juta orang awam datang ke sini setiap tahun.
8. National Library of Russia

Menurut sejarah, perpustakaan ini memfokuskan kepada pengambilan hasil cetakan bersifat kebangsaan dan memberikan akses percuma kepada koleksi-koleksinya.
Telah ditubuhkan pada tahun 1795, bangunan ini mempunyai kira-kira 36 juta bahan bacaan yang terdiri daripada buku-buku, jurnal, akhbar, majalah, penerbitan rasmi, helaian muzik, pangkalan data, manuskrip dan sebagainya.
9. Royal Danish Library, Denmark

Terletak di Copenhagen, Royal Library ataupun Perpustakaan Diraja ini merupakan perpustakaan kebangsaan bagi Denmark dan juga Universiti Copenhagen. Ianya menerima kunjungan lebih daripada 850 ribu pengunjung setiap tahun.
Bahagian digital di dalam perpustakaan ini menyimpan data sebanyak 393 ribu gigabyte. Ditubuhkan sejak 1648, Royal Danish Libraby ini mempunyai 3 cawangan dan merupakan yang terbesar di kawasan Utara Eropah.
10. National Library of China

Perpustakaan ini memegang status sebagai perpustakaan kebangsaan bagi rakyat di negara China.
Terletak di Beijing, National Library of China ini adalah yang terbesar di Asia dan ditubuhkan pada September 1909. Perpustakaan ini merupakan pusat penerbitan rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, tempat ini turut mempunyai koleksi sastera China dan dokumen-dokumen sejarah terbesar di dunia dengan bahan bacaan meliputi 115 bahasa.
Dianggarkan 5.2 juta pengunjung datang ke sini setiap tahun.
Dapatkan Buku Best-Seller PBAKL17 Dengan Diskaun Sehingga 35% Hanya Di Daulah Online Bookstore!
