Sumber foto : Sinar Harian

Baru-baru ini kerajaan Malaysia secara lantangnya mengumumkan bahawa mereka akan membantu pelarian Rohingya dengan membenarkan mereka masuk ke sempadan negara ini.

Bantuan tersebut memang seharusnya diberi memandangkan konflik Rohingya di Rakhine nampak seakan-akan tiada jalan penyelesaian. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa tindakan membenarkan pelarian Rohingya masuk ke negara ini mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.

Pelarian Perlu Dibantu

Dengan situasi Rohingya yang semakin meruncing di Myanmar, mereka semestinya perlu dibantu. Mereka tiada pilihan, sama ada lari meninggalkan penempatan mereka di Rakhine ataupun diburu dan dibunuh tentera Myanmar di sana.

Pelarian Rohingya di Myanmar terpaksa melarikan diri. Sumber foto : The Daily Beast

Namun, harus diingat bahawa bilangan mereka bukanlah sedikit. Jumlah pelarian Rohingya yang masuk ke negara ini mencecah ratus-ratus ribu. Kemasukan mereka pastinya melibatkan banyak perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh kerajaan terutamanya dari segi pendidikan dan kesihatan.

Justeru, komuniti antarabangsa janganlah hanya memejamkan mata dan lepas tangan kepada Malaysia semata-mata. Semua haruslah memainkan peranan mereka dalam membela nasib pelarian Rohingya ini.

Perasaan Kurang Senang Dengan Kemasukan Rohingya

Segelintir rakyat Malaysia agak kurang senang dengan kemasukan pelarian ini kerana ianya akan mendatangkan beban dalam menjaga kebajikan mereka semua. Seperkara lagi, mampukah mereka menyesuaikan diri dengan cara hidup rakyat Malaysia ? Itu adalah persoalan yang seringkali diutarakan oleh rata-rata rakyat negara ini.

Antara luahan rakyat Malaysia terhadap sikap pelarian Rohingya

Tambah gusar lagi, banyak kes yang melibatkan kumpulan etnik Rohingya mengganggu ketenteraman orang awam berlaku. Baru-baru ini misalnya, sekumpulan 44 etnik Rohingya telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana mengadakan protes haram di hadapan pejabat kedutaan Myanmar.

Pelarian Rohingya mengadakan protes. Sumber foto : Malaysian Digest

Tidak lama selepas itu, gempar pula di laman internet apabila ramai rakyat mengadu bahawa pelarian ini mencemarkan  kawasan tertentu seperti Selayang dengan gaya hidup mereka yang pengotor dan tidak menjaga kebersihan.

Sama ada suka ataupun tidak, ini sudah menjadi satu dilema yang membelenggu rakyat Malaysia.

Tidak Wajar Menilai Kesemua Pelarian Hanya Kerana Nila Setitik

Kita ambil satu contoh mengenai isu yang dibangkitkan baru-baru ini. Seperti yang kita tahu, Selayang adalah salah satu kawasan yang menempatkan paling ramai pelarian Rohingya. Ramai pelarian ini mencari pendapatan dengan bekerja di pasar borong Selayang. Seperti yang dilaporkan, kemasukan mereka membuatkan pasar itu menjadi kotor. Tambahan pula, ramai yang mengadu mereka bersikap kurang ajar.

Ramai pelarian Rohingya bekerja di Pasar Borong Selayang

Apa-apapun, kita tidak wajar menilai kesemua mereka hanya kerana kesalahan yang dilakukan oleh mungkin beberapa orang sahaja. Pastinya tidak semua daripada mereka yang bersikap begitu. Malah, ramai juga peniaga memberitahu bahawa komuniti pelarian itu bekerja dengan penuh sopan dan rajin.

Tuntasnya, cerita mengenai keburukan mereka di laman internet tidaklah seburuk yang disangka. Adalah tidak adil untuk menghukum mereka hanya dengan beberapa keping gambar seperti yang disebarkan.

Rakyat Malaysia Perlu Bertolak-ansur

Rakyat Malaysia juga harus faham, proses mereka menyesuaikan diri dengan cara hidup di Malaysia sudah semestinya memerlukan masa dan bukannya boleh dicapai dalam masa sehari-dua.

Jika kita lihat sendiri negara-negara Eropah lain yang membawa masuk pelarian, mereka di sana turut menghadapi masalah yang sama. Kebiasaannya proses menyesuaikan diri ini mengambil masa berpuluh-puluh tahun kerana perbezaan budaya dan komuniti yang sangat ketara.

Pelarian Rohingya diberikan bantuan di Malaysia

Oleh itu, rakyat Malaysia juga haruslah bertolak-ansur berhubung isu ini. Tanamkan sifat simpati dan empati kepada nasib mereka yang sudah lama ditindas dan berjauhan daripada keluarga. Cuba bayangkan jika kita berada di tempat mereka, mahukah kita dilayan sebegitu rupa ?

Pendek kata, semuanya terserah kepada pihak kerajaan untuk menguruskan pelarian Rohingya ini dengan sebaik mungkin.

Sumber foto : Free Malaysia Today

Menolong pelarian ini adalah satu tindakan yang mulia tetapi pihak kerajaan juga haruslah memantapkan usaha untuk membantu rakyat sendiri dalam masa yang sama. Janganlah mengikut kata pepatah; “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.


Jom Kunjungi Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Harga Buku Terendah Di Malaysia!
Daulah.com

Sumber :

 Malaysian Digest

Facebook Comments

Loading...

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here