Jika anda mengalami masalah ketika berada di sekatan untuk melepasi pintu perlepasan negara terutamanya ketika berada di lapangan terbang. Lebih bermasalah lagi jika melibatkan tugasan kerja. Masalah ini mungkin akan menyebabkan anda tidak dapat meneruskan tugasan anda.

Bayangkan sewaktu anda menyerahkan pasport untuk dicop, tiba-tiba pegawai imigresen di kaunter memaklumkan bahawa nama anda telah disenarai hitam dan dihalang untuk ke luar negara.

Pasti pelbagai persoalan akan bermain di fikiran anda, bagaimana pula nama anda boleh termasuk dalam senarai hitam imigresen? dan apakah punca menyebabkan nama anda disenarai hitam?

Kebiasaannya, seseorang yang nama telah disenarai hitam dan dihalang daripada ke luar negara berpunca dari pelbagai sebab. Antaranya ialah,

black list

  1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi  Nasional (PTPTN)

Masalah PTPTN antara yang sering kita dengar. Senarai hitam dikenakan kepada mana-mana peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman. Peminjam tidak akan dibenarkan memperbaharui pasport dan dihalang daripada ke luar Negara.

Peminjam dikendaki membayar keseluruhan hutang pinjaman atau keseluruhan tunggakan termasuk semua kos yang dikenakan sebelum nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam.

Sekiranya tidak mampu, peminjam boleh berunding dengan PTPTN, dengan membayar apa-apa jumlah yang dipersetujui oleh PTPTN dan penstrukturan semula pinjaman atau kaedah lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Rundingan hendaklah dilakukan dalam tempoh 7 hari sebelum ke luar Negara.

black list

  1. Jabatan Insolvensi Malaysia

Seorang yang diisytihar bankrap, sama sekali tidak dibenarkan meninggalkan negara kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi ataupun mahkamah. Perjalanan keluar negara hanya boleh dengan kebenaran KPI yang diamanahkan melalui budibicara undang-undang.

Permohonan hendaklah dibuat di cawangan yang mentadbir kes kebankrapan dengan menyertakan dokumen-dokumen sokongan. Anda boleh semak info berkenaan soalan status bankrap dan sekatan perjalanan Jabatan Insolvensi Malaysia di http://www.mdi.gov.my

Seseorang itu boleh diistiharkan muflis tanpa pengetahuan jika gagal mematuhi prosedur mahkamah atau tidak menerima surat atau dokumen yang dihantar kepadanya berpunca dari pertukaran alamat.

black list

  1. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Sekatan perjalanan dikenakan ke atas individu atau pengarah syarikat yang gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat.

Seseorang itu boleh buat permohonan Pembatalan Sekatan Perjalanan atau Permohonan Perlepasan Sementara Sekatan Perjalanan melalui prosedur yang ditetapkan dan ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perjalanan.

Mereka yang ingin memohon Pembatalan Sekatan Perjalanan perlu membuat pembayaran sepenuhnya secara tunai dan mengemukakan resit ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka.

 Bagi yang memohon Permohonan Perlepasan Sementara Sekatan Perjalanan pula, mereka perlu membayar separuh daripada jumlah cukai tertunggak.

Anda boleh menyemak sebarang info berkenaan Sekatan Perjalanan LHDN di http://www.hasil.gov.my

   black list

  1. Jabatan Kastam Malaysia

Di bawah Seksyen 49 Akta GST 2014, peniaga yang tidak membayar GST akan dilarang ke luar negara sehingga mereka menjejaskan tunggakan tersebut.

Sehingga Julai lalu, seramai 7143 majikan dan pengarah syarikat berada dalam senarai dilarang ke luar negara kerana mempunyai tunggakan GST.

Peniaga yang tidak membayar GST perlu membuat semakan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengetahui jika nama mereka disenarai hitamkan.

Jika peniaga sudah melangsaikan GST, Jabatan Kastam akan segera meminta Jabatan Imigresen mengeluarkan nama mereka daripada senarai itu.

black list

  1. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Majikan yang gagal menyelesaikan tunggakan caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kakitangan mereka akan dihalang daripada meninggalkan negara sehingga mereka menyelesaikan tunggakan tersebut.

Peraturan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 39 Akta KWSP 1991.

black list

  1. Pinjaman MARA

Bayaran balik bagi peminjam yang telah membuat pinjaman pelajaran kepada pihak MARA perlu membuat bayaran balik bermula bulan ke 7 selepas pelajar tamat tajaan. Pelajar yang tidak membuat bayaran balik selama 6 bulan berturut-turut akan dimasukkan dalam senarai hitam dan seterusnya terhalang ke luar negara.

Pelajar tajaan MARA yang menerima surat makluman senarai hitam dari pihak MARA perlu menyelesaikan tunggakan untuk proses pemutihan nama peminjam dan penjamin.

Untuk makluman, nama penjamin juga akan terlibat dalam senarai hitam MARA jika peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman.

black list

  1. Polis Diraja Malaysia

Kebanyakkan mereka yang disenarai hitam di bawah PDRM untuk ke luar negara terdiri daripada pesalah dan pelaku jenayah. Selain itu, atas sebab-sebab khas juga, pihak PDRM berkuasa memaklumkan kepada pihak imigresen Malaysia untuk menghalang seseorang itu ke luar Negara . Contohnya, isu yang membabitkan isu dalaman negara yang sensitif.

black list

  1. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga tidak terlepas daripada mengambil tindakan senarai hitam nama individu yang disekat ke luar Negara.

Seseorang yang dikenakan tindakan keatas kesalahan sekuriti akan mendapat perintah mahkamah supaya individu berkenaan menyerahkan perakuan pengenalan, pasport, atau apa-apa dokumen perjalanan yang dimiliki mereka sebagai syarat jaminan.

Untuk pengetahuan, Suruhanjaya Sekuriti bertanggungjawab dalam menjaya dan melindungi pelabur-pelabur dengan melakukan fungsi kawal selia ke atas institusi seperti bursa-bursa, syarikat pelaburan, skim unit amanah, kelulusan terbitan dan lain-lain.

black list

  1. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Individu yang didapati terlibat dalam kesalahan berkaitan seperti rasuah dan penggubahan wang haram juga boleh disenarai hitam di Jabatan Imigresen.

Terdapat beberapa lagi agensi di Malaysia yang turut menyerahkan senarai nama untuk tindakan sekatan ke luar Negara seperti Jabatan Pendaftaran Malaysia, Bank Negara Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan lain-lain.

Pastikan nama anda tidak disenarai hitam oleh agensi-agensi tersebut.

Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.

Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com

Sumber: Kaki Sini

Facebook Comments

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here