Sebut sahaja pasal Pulau Pinang, pasti ada dalam kalangan kita yang kecur liur. Mana tidaknya, Pulau yang terkenal menyajikan pelbagai jenis makanan yang digemari ramai. Pelancong luar bukan sahaja dapat bercuti disini, malahan dapat merasai makanan yang enak-enak.
Sememangnya gerai-gerai makanan yang popular sudah diketahui umum. Namun, terdapat juga lokasi makanan popular yang tidak diketahui lagi. Jadi, inilah antara 8 tempat makan yang anda patut kunjungi apabila berada di Pulau Pinang, Pulau Mutiara ini!
#1. Anda boleh bersarapan di Roti Bakar Transfer Road
Lokasi menarik untuk sarapan pagi adalah dengan berkunjung ke Roti Bakar Transfer Road. Berdekatan sahaja dengan Nasi Padang International Hotel ini, gerai roti bakar dan roti canai ini menjadi tenpat kegemaran bagi setiap pengunjung dari serata dunia. Antara menu yang boleh dicuba adalah roti bakar telur goyang dan sudah semestinya roti canai ayam yang memang terbukti sedap! Mudah saja untuk jumpa gerai ini, kalau tengok dekat Transfer Road tu ada gerai yang ramai orang, itulah tempatnya.
#2. Nasi Kandar Deen Maju
Kalau berkunjung ke Pulau Pinang, tidak sah kalau tidak menikmati Nasi Kandar. Nasi kandar amat popular di pulau ini. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu merasai keenakan Nasi Kandar dan sanggup beratur panjang. Sudah menjadi satu fenomena di Pulau Mutiara ini. Antara yang popular ialah Nasi Kandar Deen Maju. Sebenarnya Nasi Kandar Deen Maju ini telah lama beroperasi. Kalau datang sini saja, memang tak sah kalau kena beratur dan kena bersabar la ya. Terletak di Jalan Gudwara, Georgetown, kedai ini beroperasi dari jam 2.30 petang hingga ke 11 malam. Sesiapa yang nak beratur di hadapan tu, kena datang awal sikit lah kan dan jangan lupa untuk cuba ayam goreng yang menjadi buah mulut orang ramai.
#3. Sani Char Koey Teow
Terletak tidak jauh dari tapak Pesta Pulau Pinang, Sani Char Koey Teow memang menjadi kegemaran ramai bagi setiap pengunjung. Lokasi yang lebih tepat adalah di kawasan Tokong Ular, bila anda sebut saja Sani Char Koey Teow, semua orang tahu kerana ‘brand’ yang cukup terkenal. Harga pun berpatutan dengan rasa yang sedap. Anda kena cuba!
#4. Mee Sotong Hameed Pata
Berada di lokasi strategik iaitu di Padang Kota Lama, kedai Mee Sotong Hameed Pata ini menjadi buah mulut orang ramai. Memang terbukti rasnaya yang sedap dengan ditambah pula sambal sotong yang pedas kemanisan itu memang dapat mencairkan hati sesiapa sahaja yang mencuba! Kalau nak sedap lagi, pesan juga Coconut Shake. Dua gabungan ini dapat menambahkan lagi selera anda dan mana tahu, tambah sampai pinggan kedua pula
#5. Teochew Chendul (Penang Road)
Panas-panas ni memang sedap kalau makan cendol kan? Kalau nak rasa cendol terbaik di Pulau Pinang nin anda boleh berkunjung ke TeoChew Chendul yang terletak di Lebuh Keng Kwee. Bila dah sampai sini jangan terkejut pula sebab keadaan beratur tu memang macam tu. Nak beli makanan pun beratur, masa tengah makan pun kena beratur sebab tak cukup tempat. Memang inilah penangan cendol terbaik ini dan servis pun laju saja.
#6. Restoran Sup Hameed
Bila sebut sup ni ramai yang anggap sup adalah makanan yang biasa dan boleh didapati di mana-mana sahaja. Tetapi, berlainan dengan Sup Hameed yang terletak di Jalan Penang ini. Kepekatan sup herba ini dapat menarik minat sesiapa sahaja yang merasanya walaupun pertama kali dicuba. Bukan sahaja ada sup daging tapi pelbagai jenis isi sup boleh dipilih dan yang menariknya, sup ini boleh dicicah bersama roti. Jadi, kalau waktu petang atau malam tak tahu nak makan apa tu, boleh lah singgah untuk merasa nikmatnya ‘The Best Soup In Town’ ini.
#7.Pasembur Padang Brown Penang
Selain Nasi Kandar, satu tarikan di Pulau ini adalah pasembur. Bagi penggemar makanan laut, anda boleh datang ke Pasembur Padang Brown Penang untuk rasai keenakan pasembur ini. Pasembur ini kalau di Kelantan dikenali dengan nama colek. Namun, pasembur perlu digoreng dan dimakan bersama kuah sosnya yang sedap. Kawasan makan Padang Brown cukup menyenangkan pengunjung, terdapat surau dan tandas yang dijaga elok. Tempat makan yang luas dan meriah. Malahan menjadi tempat singgahan keluarga, dan juga mat-mat moto. Anda boleh waze atau Google Maps dengan carian “padang Brown Penang” untuk kesana.
#8. Laksa Tempurung
Kalau anda datang ke Pulau Pinang tidak sah kalau tidak mencuba laksa pineng yang sangat ‘best’. Kepada penggemar laksa atau ‘hantu laksa’, anda boleh mencuba untuk rasai keenakan Laksa Tempurung yang tular di laman sosial. Lokasi yang strategik terletak di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar. Kawasan kedai ini berhampiran pantai. Sangat ‘best’ jika anda makan disini bersama keluarga atau sesiapa sahaja. Suasana yang aman dan menyenangkan.
Banyak lagi tempat makanan yang menarik yang anda boleh singgah di Pulau Pinang. Benarlah kata orang, Pulau Pinang adalah destinasi pelancongan syurga makanan. Jadi, apa kata hujung minggu ini, bawalah keluarga, kawan-kawan atau sesiapa sahaja untuk rasai nikmat keenakan makanan di Pulau Pinang.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai berita ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Sumber: MySelera.com