Set pakaian sukan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Supermokh’ kini mula dijual dengan harga RM4,500.
Pakaian klasik itu dijual oleh pengumpul barangan bundle vintaj, Nurgajir Noor di Kemaman Vintage Fest di Padang Astaka, Terengganu.
Bukan setakat set pakaian sukan Supermokh, semua koleksi seluar denim Levi’s 1940-an bernilai RM200,000 turut dijual di karnival tiga hari itu, menurut Sinar Harian. Antara koleksi yang paling mahal dijual adalah seluar denim Levi’s era 40-an berharga RM15,000.

Karnival tersebut mengumpulkan 40 pempamer bundle dari Malaysia dan Thailand.
Allahyarham Dato’ Mohamad Mokhtar Dahari merupakan pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dan salah seorang pemain terbaik di Asia pada era 1970-an. Beliau kekal diingati sebagai pemain bola sepak terbaik di Malaysia pada masa itu. Semasa tahun 1970-an, beliau mewakili Malaysia sekaligus menjadi pasukan terhandal dan menewaskan Korea Selatan dan Jepun.

Beliau diberikan jolokan Supermokh kerana kehebatannya di atas padang, kekuatan dan keupayaannya menjaringkan gol sepanjang kerjayanya. Salah satu saat indah Mokhtar adalah apabila beliau berjabat tangan dengan Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan antara Selangor FA dan Boca Juniors.
Beliau meninggal dunia pada 11 Julai 1991 di Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah sekian lama bertarung dengan penyakit saraf.
Sumber : The Malay Mail Online
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk artikel atau iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com