Pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCC) merupakan satu detik yang penuh emosi buat kerabat diraja Johor, terutamanya Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Ketika ucapannya, baginda dilihat banyak kali berhenti seketika untuk menyapu air matanya. Selain itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga dilihat menitiskan air mata.

Menurut Sultan Ibrahim, penyakit kanser merupakan satu perkara yang dekat dengan hati baginda memandangkan puteranya, Almarhum Tunku Abdul Jalil meninggal dunia gara-gara kanser hati pada Disember 2015.
Ketika hayatnya, Tunku Abdul Jalil sememangnya begitu prihatin dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan kanser. Almarhum sering menghabiskan masanya melawat pesakit-pesakit lain meskipun dirinya sendiri menghidap kanser.
Justeru, Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa pembinaan TLJCC ini adalah satu cara untuk meneruskan niat murni Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Sultan Ibrahim telah menyumbang sebanyak RM2.3 juta untuk pembelian mesin pengimbasan CT bagi pusat rawatan onkologi di Hospital Sultan Ismail supaya lebih ramai pesakit dapat menjalani rawatan radioterapi dengan mudah.
TLJCC akan dibina berdekatan Bukit Horizon di Iskandar Puteri, kira-kira 25 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan 40 minit daripada Tambak Johor-Singapura.

Pusat kanser tersebut akan diswastakan, bertujuan menawarkan fasiliti rawatan kanser, kajian dan pendidikan.
Dijangka beroperasi pada hujung tahun 2020, TLJCC akan dilengkapi dengan kemajuan tekonologi yang canggih. Dengan kapasiti maksimum, pusat itu mampu merawat kira-kira 7,000 pesakit setahun.
Sumber : AsiaOne
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk artikel atau iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com