Individu yang bertanggungjawab memulakan siasatan kali pertama ke atas skandal 1MDB, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima ugutan bunuh dan dipaksa untuk meninggalkan negara ini kerana sesetengah pihak bimbang kes itu akan terbongkar.
Bukan itu sahaja, beberapa pegawai yang bertugas di bawahnya turut dihapuskan selain saksi-saksi yang menghilangkan diri secara tiba-tiba.
Datuk Shukri memberitahu bahawa beliau mengalami trauma kerana apa yang telah menimpanya di sekitar tahun 2015 itu.
“Saya pernah diugut untuk dipecat, disuruh supaya bersara, mengambil cuti panjang dan dipindahkan ke jabatan latihan.
“Saya menerima ugutan melalui WhatsApp dan juga pernah dikirimkan peluru sebagai peringatan bahawa saya mungkin akan dibunuh kerana menyiasat kes 1MDB ketika itu”, ujar Shukri.
Beliau kini dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM setelah Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran negara, yang bertegas untuk mengembalikan semula kedaulatan undang-undang negara yang sebelum ini dimanipulasi untuk kepentingan sesetengah pihak.
Pendedahan itu diberitahu oleh beliau setelah Najib Razak menghadirkan diri ke SPRM untuk memberikan keterangan berhubung skandal 1MDB itu. Najib diminta untuk menjelaskan bagaimana wang sebanyak $681 juta (RM2.6 billion) daripada SRC International (anak syarikat 1MDB) masuk ke dalam akaun bank peribadinya.
Datuk Shukri sebelum ini merupakan Timbalan Pesuruhjaya SPRM di zaman pemerintahan Najib, dan bertugas mengetuai siasatan mengenai skandal korupsi melibatkan wang bernilai ratusan juta ringgit daripada dana kerajaan itu.
“Ada sumber yang dipercayai memberitahu bahawa saya akan ditangkap dan dipenjara kerana bersubahat dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan. Oleh itu saya terpaksa berpindah ke Washington untuk keselamatan diri.
“Kami hanya mahu memulangkan wang yang dicuri dari negara ini. Namun, kami dituduh sebagai pengkhianat yang mahu melihat negara ini jatuh dan menjadi porak-peranda”, ujarnya dengan nada sebak.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Najib Razak tidak akan ditahan dalam masa terdekat dan siasatan masih berjalan.
Najib mengaku wang sebanyak RM2.6 billion di dalam akaunnya itu adalah derma daripada Putera Arab dan bukannya wang yang disonglap. Namun, Putera Diraja yang dikatakan sebagai penderma itu tidak dapat menunjukkan dokumen sokongan bagi membuktikan perkara terbabit.
Siasatan ke atas kes 1MDB kini dibuka semula, dan akan diketuai oleh pengurusan baru SPRM dan pasukan khas. Mereka akan memfokuskan untuk mengembalikan semula wang dana kerajaan yang telah dibelanjakan ke pelbagai tempat seperti US, Switzerland dan Singapura di samping mengheret pihak yang bersalah ke muka pengadilan.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com