Waktu kecemasan sebegini mewujudkan dua pilihan kepada jentera BN yang banyak menabur bakti sebelum ini; terus berdiri dengan prinsip yang telah dipegang secara turun temurun atau mengambil langkah drastik untuk mengubah strategi perjuangan jentera mereka.
Fasa kesedihan ekoran kekalahan teruk menyaksikan satu demi satu ‘kawan’ yang lain mengucapkan salam perpisahan. Bagi memulihkan keadaan, jentera ini memerlukan cermin bagi menilai kedudukan mereka pada hari ini dan juga kanta yang cukup jelas bagi mengkaji kesilapan serta cela yang telah menyebabkan mereka hilang dari hati rakyat.
Politik yang matang tidak perlu dibazirkan masa yang ada untuk menegakkan benang yang basah dan saling bercakaran. Kesilapan utama; ketika di puncak, tiada sebarang strategi diatur sebagai jalan kedua sekiranya tersungkur sewaktu PRU-14. Lihat bagaimana PH mencabar dan merombak satu demi satu kelaziman yang ada pada sesebuah negara demokrasi.
PH bijak memanipulasi egalitarian society. Manifesto yang dikeluarkan lebih bersifat radikal dengan memaparkan satu demi satu permasalahan yang ada dalam parti tersebut dan menggunakan tiap peluang yang ada. Walaupun ada ketika hal yang dibangkitkan boleh dikatakan bersifat agak picisan, sekecil-kecil hal mampu menjadi racun bagi melumpuhkan pihak lawan.
Kemuncak konflik yang menyebabkan rakyat menjadi tawar hati dan kepercayaan mereka semakin menipis terhadap kerajaan ketika itu tercetus satu demi satu ketika keistimewaan Tun M ditarik serta penafian beliau dalam buku teks sekolah telah menjadi salah satu punca utama yang memakan diri kerana hal sedemikian berjaya menaikkan amarah rakyat yang ketika itu terbeban dengan isu GST.
BN perlu belajar dengan pendekatan yang diambil oleh pihak PH melalui pemulangan kuasa kepada rakyat. Pemerintahan yang bersifat dominan dan entnosentrisme mungkin berkesan dalam memperjuangkan nasib satu bangsa.
Kerajaan terdahulu seharusnya perlu lebih peka dengan komposisi negara ini yang terdiri daripada rakyat berbilang bangsa, berlainan fahaman serta pendapat. PH membuktikan didalam satu kabinet, ahlinya terdiri daripada lebih daripada satu parti politik sekali gus membuktikan bahawa rakyat lebih yakin dengan keseimbangan kuasa dalam kalangan pemerintah itu sendiri.
“BN pula melakukan kesilapan besar. Antaranya dalam penentuan calon. Sifat BN sebagai sebuah parti yang dikuasai “warlord” bahagian dan tiadanya pemilihan pucuk pimpinan dalam Umno yang begitu lama menyebabkan calon-calon yang dipilih tidak menepati kriteria dikehendaki rakyat.”- Dua tsunami berbeza yang menelan Umno, Dr. Mazlan Ali, 23 Jun 2018
Sebagai parti politik yang telah lama memegang tampuk pemerintahan, waktu kejatuhan ini adalah satu peluang bagi memperbetulkan satu demi satu kesilapan yang telah dilakukan dan belajar untuk bersikap lebih terbuka. Pengalaman seharusnya menjadikan parti ‘tua’ ini lebih tahu apa seharusnya dipulihkan dan apa yang sewajarnya dialihkan.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.