Isu pengiktirafan UEC oleh kerajaan Malaysia kembali menjadi kontroversi yang hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia kebelakangan ini. Seperti yang dijangka, ada pihak yang bersetuju dan tidak kurang juga ada yang menentang.
Bagi anda yang belum jelas apa sebenarnya perkara pokok di sebalik isu ini, di sini kami rangkumkan fakta-fakta yang anda perlu tahu mengenai UEC :
Apa itu UEC ?
UEC sebenarnya adalah singkatan kepada frasa Unified Examination Certicate atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sijil ini merupakan sijil pembelajaran yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Secara umumnya, sijil ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UECJML), Vokasional (UECV), dan Menengah Tinggi atau Senior Middle (UECSML) yang mana kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. Tiada subjek pun yang menggunakan Bahasa Melayu.
UECSML mengandungi subjek Matematik, semua subjek Sains, dan semua subjek aliran Perdagangan.
Terdapat juga situasi di mana pelajar-pelajar yang mengambil sijil ini akan memiliki dua sijil sekaligus iaitu UEC dan SPM bagi tujuan membolehkan mereka untuk bekerja di sektor kerajaan atau memasuki universiti awam.
Kenapa Kerajaan Nak Laksanakan UEC ?
Pengiktirafan UEC merupakan salah satu manifesto yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang lalu. Justeru, Kementerian Pendidikan melalui menterinya, Dr. Maszlee Malik menegaskan bahawa pihaknya sudah sebulat suara akan tetap menepati manifesto tersebut.
Memang ramai pihak yang menentang, tetapi Kementerian Pendidikan menjelaskan mereka tidak akan berdalih dan mahu meneruskan pengiktirafan ke atas sijil berkenaan.
Kesan UEC Kepada Kedaulatan Negara ?
Hakikatnya, UEC membawa lebih banyak kesan buruk dari baiknya. Sebab itulah ramai orang menentang kerajaan Malaysia mengiktiraf sijil ini untuk kemasukan ke universiti awam yang ada di dalam negara. Boleh dikatakan, pengiktirafan terhadap sijil itu berupaya untuk memberi ancaman kepada kedaulatan Malaysia.
#1. Seperti yang kita sedia maklum, sijil UEC ini menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin dalam sistem pembelajaran dan peperiksaan mereka. Hal Ini sudah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yakni Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Ianya sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati bersama sejak lama dahulu.
#2. Apabila UEC menggunakan bahasa Mandarin semata mata, maka para pelajarnya akan lebih mahir dalam bahasa Mandarin berbanding bahasa kebangsaan untuk negara. Lalu, bagaimana untuk merapatkan jurang perkauman yang luas terbuka sejak sekian lama.
Sistem pembelajaran yang digunapakai oleh UEC juga menjadikan pelajar mereka terasing daripada kaum kaum lain yang wujud di dalam negara. Mereka tidak akan bercampur gaul dengan kaum kaum lain yang ada di sekeliling mereka. Sistem yang digunapakai oleh UEC itu bukan sahaja menyebabkan jurang perkauman luas terbuka malah kecintaan mereka terhadap negara boleh dipertikai juga.
#3. Pengiktirafan terhadap sijil ini juga boleh menghakis peluang kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputra ke IPTA yang ada dalam negara. Seperti yang kita sedia maklum, prinsip meritokrasi merupakan prinsip utama untuk kemasukan ke semua IPTA di negara kita. Para pelajar Melayu atau Bumiputra yang patuh kepada segala dasar dasar kerajaan akan mempunyai peluang yang tipis untuk masuk ke IPTA berbanding pelajar pelajar yang mengambil UEC iaitu seramai 20,000 orang setahun.
Jika seramai itu pelajar UEC diberi masuk ke IPTA, dan ditambah pula dengan pelajar bukan Melayu yang lain yang diterima masuk ke IPTA melalui peperiksaan SPM, maka kuota untuk pelajar Melayu dan Bumiputra akan terhakis begitu sahaja.
#4. Sistem pembelajaran dan peperiksaan berasaskan sijil ini langsung tidak mahu menggunakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Mereka menggunakan sistem atau dasar pendidikan yang dicedok daripada sistem atau dasar pendidikan yang terdapat di negara Taiwan sana. Secara tidak langsung, telah wujud dua sistem atau dua dasar pendidikan dalam sesebuah negara !
Wajarkah UEC Diiktiraf ?
Sekiranya pihak kerajaan sudah bertekad mahu meneruskan pengiktirafan ke atas UEC, diharapkan agar nasib golongan kaum-kaum lain akan tetap dibela. Semoga tidak timbul sebarang isu pergaduhan antara kaum di negara ini.
Apa pula pendapat anda, adakah anda bersetuju UEC diiktiraf ? Kongsikan pandangan anda dalam ruangan komen di bawah.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Kredit : Muhammad Nur Haziq, Kolumnis Pembina