Kalau disebut hospital, antara satu perkara pertama yang melintas di fikiran mestilah para doktor denga leher berkalung stetoskop berpakaian kot putih dan berkaca mata serta jururawat berseragam putih yang sentiasa setia dengan pesakit.
Tapi, anda pernah ambil tahu tak? Hospital bukan sahaja terdiri daripada doktor dan jururawat, tapi ada juga orang lain yang bekerja membantu supaya hospital tu berfungsi seperti yang sepatutnya.
Untuk menunjukkan yang hospital ini bukan saja ada doktor dan jururawat, seorang doktor pelatih tentera telah mengusahakan sebuah projek fotografi peribadi bagi mengabdikan hero-hero kesihatan kepada rakyat ini.
Pesakit Sembuh Bukan Sahaja Kerana Usaha Doktor, Tapi Juga…
Lt (Dr) Lim Shimri, seorang doktor pelatih di Hospital Tuanku Sultan Mizan berkongsi tentang apa yang dilaluinya sepanjang menjalankan tugas di sana.
“Sebagai yang paling junior, kami paling banyak berkomunikasi dengan pelbagai jabatan/bahagian untuk memastikan segala macam urusan lancar. Interaksi (antara bahagian) inilah yang membuatkan saya sedar bahawa apa yang berlaku adalah lebih daripada yang dibayangkan (oleh orang luar)”
Beliau juga menyatakan bahawa, usaha untuk menyembuhkan pesakit itu bukan sahaja melibatkan doktor semata-mata tapi semua yang bekerja di hospital tersebut.
“Untuk seseorang pesakit itu sembuh, ia adalah gabungan usaha daripada pelbagai petugas di hospital dan bukan sahaja oleh doktor yang terlibat.”
Projek peribadi yang berjudul “The Unsung Heroes” (Hero Yang Tidak Didendangkan) ini menampilkan pelbagai petugas yang ada di sebuah hospital. Setiap satu gambar yang diambil dengan kapsyen tugas yang dilakukan oleh petugas yang diambil gambarnya.
Gambar bagi projek fotografi ini diambil di Hospital Tuanku Mizan, tempat di mana Dr. Shimri Li menjalankan housemanshipnya kini.
Ambil Gambar Untuk Mendidik
Dr. Shimri yang menjadikan fotografi sebagai hobinya, sudah bergiat selama hampir 4 tahun. Sebelum ini, hasil fotografinya hanya mengenai kembaranya ke negara luar serta potret.
Sebelum projek “The Unsung Heroes” ini, beliau turut mengusahakan sebuah projek fotografi peribadi dengan nama “Reason” (Sebab) yang menampilkan para tentera beserta kapsyen mengapa mereka memasuki dunia ketenteraan.
Doktor muda yang berasal dari Melaka ini mengambil masa kira-kira 3 bulan untuk melengkapkan koleksi beliau.
Korbankan Hari Cuti
“Disebabkan saya selalu oncall dan bekerja, jadi ia mengambil masa untuk menyiapkan projek ni. Masa saya agak terhad dan saya terpaksa gunakan masa cuti untuk ambil gambar-gambar ni. Saya pun kena setkan masa dengan orang yang saya nak ambil gambarnya…”
Jadi, untuk memastikan projeknya boleh siap, beliau sanggup mengorbankan masa cutinya sendiri. Wau! Komitmen boleh tahan. Untuk kerja dan juga untuk hobi.
Projek Lain
Dr. Shimri ada juga bercadang untuk menjalankan beberapa lagi projek fotografi peribadinya. Selepas ini mungkin mengenai orang asli.
“Salah satu daripadanya adalah mengenai orang asli Batek di Taman Negara, Pahang. Mereka ni ada gaya hidup dan amalan yang eksotik. Pasti ia jadi satu cabaran yang menarik nanti…”
Segala gambar dan projek fotografi Dr. Shimri ada dimuatkan di laman blognya, Shimri Li Photography. Semua hasil kerjanya ada di situ. Kalau nak tengok lagi, bolehlah pergi ke sana untuk mencuci mata dengan hasil fotografi yang setaraf jurugambar profesional!
*Semua gambar yang digunakan adalah sumber daripada Facebook Shimri Li.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.