Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang warga Filipina, Elly Pamatong yang membakar Jalur Gemilang secara terbuka baru-baru ini serta turut disebarkan melalui video.
Video tersebut yang dimuat naik dan tular menerusi akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’, memaparkan individu yang merupakan pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE) membakar bendera Malaysia di Filipina pada 19 Jan dan 21 Januari lalu.
Elly turut mengeluarkan kenyataan anti-Malaysia di dalam video tersebut.
Berhubung isu itu, kerajaan Malaysia menggesa Filipina agar mengambil tindakan tegas ke atas Elly kerana perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu insiden yang perlu diambil serius.
Insiden ini juga boleh merosakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang selama ini terjalin baik.
Wisma Putra dalam kenyataannya menegaskan bahawa bendera adalah simbol negara yang kudus sesetengah negara dan harus diperlakukan dengan penuh rasa hormat.
Tindakan tersebut serta komen-komen yang bernada anti-Malaysia yang dibuat oleh Elly Pamatong adalah tidak berasas dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia.