Dunia politik heboh lagi apabila netizen sudah mula ‘menyiasat’ sijil-sijil akademik milik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Netizen-netizen mula menjadi penyiasat tidak bertauliah apabila kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta beberapa orang ADUN, dikatakan memalsukan sijil akademik mereka.
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin turut dipersoal oleh pengguna-pengguna Twitter apabila sijil milik mereka tiada dalam carian di universiti seperti dipaparkan dalam ruangan biodata mereka.
Lebih menarik perhatian apabila netizen-netizen tidak menemui nama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang dalam senarai ‘Chartered Accountant’.
Pemilik akaun tersebut turut memuat naik gambar yang memaparkan hasil carian dari laman web ACCA untuk membuktikan nama Lim Guan Eng tidak tersenarai dalam kalangan akauntan bertauliah yang berdaftar.
Isu ini turut menarik perhatian mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyindir kerajaan Pakatan Harapan melalui laman Twitternya mengenai kesukaran rakyat untuk memohon skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana perlu menyertakan lima sijil yang diperakui.
Katanya, kesusahan itu ditanggung rakyat namun untuk menjadi menteri hanya memerlukan satu sijil palsu sahaja.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad berkata isu kelayakan akademik pemimpin Pakatan Harapan ini perlu diperjelas kepada umum khususnya yang melibatkan universiti tanpa akrediatsi.
Beliau turut berpandangan isu sijil ini bukanlah masalah besar asalkan pemimpin tersebut bersifat amanah dan mampu menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya.