Filem animasi kembar nombor satu Malaysia, Upin Ipin akan menembus pasarannya ke negara China selepas berjaya menembusi pasaran Indonesia.
Usaha membawa animasi Upin dan Ipin ke negara China ini dicapai dengan usaha sama antara penerbit animasi berkenaan Les’ Copaque Production Sdn Bhd dengan Beijing Animation and Gaming Industry Association (Bagia). Usaha ini bertujuan membawa Upin Ipin ke pasaran perniagaan yang luas.
Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, kejayaan usaha sama ini akan membuka satu lembaran baru kepada industri kreatif di Malaysia, serta menjadi ikutan memandangkan China merupakan satu pasaran besar yang sukar ditembusi penggiat industri global selama ini.
Tambah beliau, pihaknya telah mendapat kebenaran rasmi dari kerajaan China untuk menandatangani MOU bersama dan ia merupakan kolaborasi persatuan ini yang dinaungi lebih 250 buah syarikat filem animasi China di bawahnya.
Pihaknya juga akan melihat kerjasama yang boleh dibuat bersama seperti filem animasi baru, pemasaran dan tayangannya serta melihat bagaimana expo animasi diadakan bagi pasaran Asia Tenggara.
Filem terbaharu Upin Ipin, iaitu Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal juga bakal ditayangkan di China dan Indonesia dalam tempoh masa yang sama.