Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan sebuah Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional. Mesyuarat terbabit telah dilangsungkan menerusi platform dalam talian.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 12 Presiden Parti dari BERSATU, UMNO, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili Timbalan Presiden.
“Saya bersyukur bahawa mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam dalam suasana akrab dan muhibah telah menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat dari YB Dato Takiyuddin Hassan Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YBhg Tan Sri Mohd Zuki Ali Ketua Setiausaha Negara dan YBhg Dato Dr Norhizan Ismail Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. ” katanya melalui satu posting di media sosial Facebook beliau.
Tambah beliau, isu yang telah dibincangkan menerusi mesyuarat secara dalam talian itu adalah berkaitan Ordinan Darurat dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan imunisasi vaksin yang akan bermula pada bulan Februari 2021. Dikatakan semua pihak telah berpuas hati dengan penjelasan berkaitan isu darurat terbabit.
Berliau berharap dengan adanya Mesyuarat Presiden ini akan menjadi tunjang utama dalam memastikan kestabilan dan politik dan kelancaran pentadbiran Kerajaan. Perbincangan sesama Presiden ini juga diharapkan dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Sumber : Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin
Darurat yang telah dikuatkan kuasakan pada 11 Januari 2021 yang lalu akan berlangsung sehingga bulan Ogos 2021 atau mungkin lebih awal mengikut bentuk pergerakan pandemik COVID-19.
Sepanjang darurat ini, kegiatan politik akan dilumpuhkan dan kerajaan terkini akan mentadbir negara seperti biasa. Tiada sidang parlimen atau sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung sepanjang tempoh ini. Tiada Pilihan Raya Umum, Negeri atau Pilihan Raya Kecil dibenarkan dalam tempoh darurat.