Kawasan di pantai timur sering kali dikunjungi banjir pada setiap akhir tahun dan awal tahun. Perkara ini terjadi tidak terkecuali pada tahun 2021. Malaysia yang sedang hangat melawan pandemik COVID-19 kini terpaksa pula berhadapan dengan bencana alam iaitu banjir.
Banjir sedang berlaku di Terengganu, Pahang, Johor dan Selangor. Akan tetapi berikutan hujan secara berterusan yang berlaku di beberapa negeri, Perak dan Kelantan juga mempunyai rakyat yang terjejas akibat banjir.
Banjir yang berlaku telah menyebabkan banyak pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan rakyat yang terjejas. Terdapat pertambahan bilangan mangsa banjir di Johor dan Pahang. Lebih daripada 16,000 mangsa banjir yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di negeri-negeri yang terlibat.
Di Terengganu, daerah yang terjejas teruk adalah di Dungun dan Kemaman. Di Pahang pula, daerah yang terjejas ialah di Kuantan, Raub, Maran, Jerantut, Rompin, Lipis, Temerloh, Bentong dan Pekan. Hulu Bernam adalah daerah yang terlibat di Selangor.
Di Johor, daerah yang terlibat adalah di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Segamat. Daerah yang terlibat di Perak pula adalah di Muallim, Kampar dan di Hilir Perak. Daerah yang terlibat di Kelantan pula adalah daerah Gua Musang.
Tidak hanya kejadian banjir, berlaku juga beberapa kejadian tanah runtuh dan juga kejadian jalan putus sejak bermulanya tahun baru ini. Setakat ini, kejadian tanah runtuh yang terbaru adalah di jalan lama Bentong-Raub. Jalan tersebut telah ditutup dan pengguna jalan raya perlu untuk menggunakan jalan alternatif lain.
Pihak berkuasa telah menutup beberapa jalan yang terjejas dan menyarankan supaya orang ramai tidak meredah banjir meskipun dengan kenderaan. Sudah berlaku banyak kejadian lemas dan hanyut akibat daripada hujan lebat sepanjang tempoh dua minggu ini.
Sumber : Berita Harian
Langkah-langkah keselamatan sewaktu banjir perlu untuk dipatuhi supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Tidak lupa juga rakyat masih lagi perlu berjuang untuk melawan pandemik COVID-19.