Dalam kehidupan harian kita mesti pernah berlaku dalam hidup anda, solat semasa azan berkumandang. Ramai yang tertanya – tanya jika kita melakukan solat fardhu semasa azan masih berkemundang adakah solat tersebut itu sah.
Daripada maklumat yang diperoleh di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mengerjakan solat ketika azan berkumandang adalah sah solatnya.
Ini kerana azan merupakan tanda masuknya waktu solat dan di antara syarat sah solat adalah mengerjakannya setelah masuk waktu.
Mari ketahui dengan lebih lanjut menerusi artikel ini.
Azan merupakan salah satu syiar islam dalam menyeru umat islam untuk mengerjakan ibadah solat.
Ianya juga menandakan bahawa masuknya waktu solat fardhu dan mengajak umat islam dalam mengerjakan solat secara berjemaah.
Syeikh Muhammad Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya: “Azan dan Iqamah merupakan dua Syi’ar Islam, dan disyariatkannya selepas masuk waktu solat dan sebelum menunaikan solat”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/179)
Tujuan dilaungkan azan adalah seperti yang dinyatakan di atas, untuk menunjukkan masuknya waktu solat fardhu. Seperti hadis yang dinyatakan di atas, Syeikh Muhammad Zuhaili telah meletakkan beberapa syarat sah bagi melaungkan azan dan masuknya waktu solat adalah salah satu syarat.
Katanya: “Disyaratkan untuk melaungkan azan adalah masuknya waktu. Ini kerana bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu solat. Maka tidak sah dan tidak harus melaungkannya sebelum masuk waktu solat dengan sepakat para fuqaha’ (Ijma’) kerana ini boleh menyebabkan keraguan. Dan dikecualikan pada azan subuh yang pertama yang dilaungkan pada setengah malam. Ini disebabkan kerana azan Sunnah”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 1/185)
Bagi memastikan samada solat kita sah atau tidak. Ketahui syarat sah solat.
Terdapat pelbagai syarat sah solat, antaranya ialah suci daripada hadas, suci daripada najis, menutup aurat, masuk waktu dan mengadap kiblat.
Seperti yang diketahui solat fardhu lima waktu telah ditetapkan waktu untuk menunaikannya dan wajib mematuhinya. Ini kerana ia merupakan syarat sah solat. Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’, 103)
Selain itu cara mengetahui masuknya waktu solat adalah dengan cara berikut:
- Mengetahuinya dengan yakin, Iaitu berpengang kepada dalil yang nyata seperti melihat terbenamnya matahari
- Ijtihad, iaitu berpegang kepada dalil yang kukuh yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa bekerja.
- Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh.
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/123)
Seperti yang telah dinyatakan di atas, mengerjakan solat ketika azan berkumandang adalah sah solatnya. Walaupun begitu, mengerjakan solat selepas azan adalah lebih afdhal.
Ini kerana hadis daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma sabda Nabi SAW:
اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang di kalangan hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.
Riwayat Muslim (384)
Kesimpulanya, mengerhakan solat selepas azan dapat melakukan tuntutan yang disunatkan semasa azan berkumandang seperti menjawab azan, berselawat dan memohon doa kepada Allah SWT. Dan dengan melakukan perkara berikut akan mendapat ganjaran istimewa yang dijanjikan Allah SWT.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Pesekutuan