Prosedur Operasi Standard atau sering kali disebut sebagai SOP adalah satu kumpulan peraturan yang dibuat untuk memudahkan tugas yang dikerjakan. Peraturan ini dicipta oleh sesebuah badan atau individu penting bagi mewujudkan keseragaman yang mampu untuk mengubah sesuatu situasi.
SOP PKP pula adalah peraturan yang berlangsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, pelbagai SOP baharu telah diwujudkan mengikut keadaan semasa. Ianya juga dikenali juga sebagai norma baharu.
Sejak PKP pertama yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu, terdapat SOP yang telah dijalankan bagi membendung penularan virus COVID-19. SOP ketat di seluruh negara telah dilaksanakan dan terbukti SOP tersebut berkesan apabila negara tidak mencatatkan bilangan kes sebanyak beberapa hari pada tahun lepas.
Namun, PKP 2.0 yang berlangsung baru-baru ini memperlihatkan sedikit perbezaan kerana terdapatnya perubahan di dalam SOP yang dikenakan. Pada tahun yang lalu, rakyat semua patuh mengikuti SOP yang ditetapkan.
Pada kali ini, dilihat beberapa kelonggaran yang telah diberikan atas desakan faktor ekonomi. Baru-baru ini kerajaan telah mengeluarkan kenyataan di mana kedai-kedai cermin mata dan dobi layan diri dibenarkan untuk beroperasi.
Tambahan itu, melalui media-media tempatan, terdapat pihak yang menyatakan bahawa rakyat sudah tidak mengambil peduli berkenaan SOP di kawasan PKP. Masih terdapat ramai yang cuba untuk merentas negeri tanpa alasan yang kukuh.
Terdapat pelbagai pandangan daripada rakyat berkaitan pelaksanaan PKP ini. Ada yang mampu untuk meneruskan kehidupan di kala PKP ini. Namun, tidak kurang ada yang menjadi terdesak akibat pelaksanan PKP.
Masalah kewangan adalah masalah terbesar yang perlu dihadapi oleh semua pihak. Perkara ini mungkin akan menyebabkan terdapatnya kekurangan pematuhan SOP yang telah diaturkan.
Akibat daripada itu, terdapat beberapa pihak yang memohon supaya pembukaan beberapa sektor perniagaan dibuka dengan SOP ketat. Peniaga restoran, dan rakyat juga meminta untuk kerajaan melanjutkan waktu operasi kedai makan.
Pelbagai pertimbangan perlu dilakukan untuk menetapkan SOP. Perkara ini dilakukan supaya negara dapat bebas daripada cengkaman virus COVID-19.