Datuk Hj Mohd Syafiq Bin Hj Abdullah (lahir 8 Disember 1987) adalah seorang usahawan Malaysia dan merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan di dalam sektor General Trading, Development & Construction, Healthcare, Technology, Defence dan Event & Advertising.
Beliau merupakan Pengerusi kepada Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), juga memegang amanah sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah kepada Education Malaysia Global Services (EMGS), sebuah Syarikat Limited by Guarantee (“CLBG”) di bawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia serta Pengasas kepada Yayasan VFive iaitu badan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada VFive Group.
Kehidupan Peribadi
Merupakan anak bongsu di dalam keluarganya, Syafiq adalah satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Abdullah Bin Sulaiman (bapa) dan Noraihan Binti Muhammed (ibu).
Beliau mula bersekolah di SK Ampang dari tahun 1994-1999 dan kemudiannya ke SMK Dato’ Ahmad Razali dari tahun 2000-2004 di peringkat menengah.
Syafiq Abdullah mengambil Diploma Pengajian Perniagaan di Kolej Poly-Tech MARA, Bangi dari tahun 2005-2009 sebelum menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Pemasaran (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 2009 – 2011.
Pada tahun 2012, beliau telah berkahwin dengan isterinya, Nor Atiqah Abdul Razak dan dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Muhammad Affan.
Buat masa kini, Syafiq Abdullah sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Pengurusan Bisnes (MBA) dari University of the West of Scotland, United Kingdom.
Kerjaya & Keusahawanan
Minat Syafiq Abdullah dalam bidang keusahawan mula timbul sewaktu menuntut di UiTM Shah Alam. Beliau aktif melibatkan diri dalam Persatuan di kolej, di mana persatuan tersebut menjana pendapatan daripada pekhidmatan pengurusan acara. Beliau memperolehi pengalaman pertama dalam dunia korporat ketika menjalani Latihan Industri di Astro Malaysia Holdings Berhad. Pihak pengurusan pada waktu itu menawarkan peluang untuk diserap menjadi kakitangan tetap, namun Syafiq memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut.
Setelah tamat belajar pada tahun 2011, Syafiq Abdullah mula bekerja sebagai Perunding Kewangan di bawah Public Mutual Berhad. Tidak lama selepas itu, beliau dan 4 orang rakan pengajiannya mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat mereka sendiri dengan nama Vantage Five (kini dijenamakan semula sebagai VFive). Nama Vantage Five tersebut adalah simbolik kepada lima orang pengasasnya.
Kini setelah hampir sedekad ditubuhkan, VFive Group telah menubuhkan beberapa lagi anak syarikat dan meluaskan perkhidmatan mereka di dalam pelbagai sektor.
Di dalam temuramah bersama Datuk Hj Syafiq Abdullah, beliau menjelaskan bahawa motivasi terbesar di dalam kerjayanya adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di sekeliling. Itulah pembakar semangat beliau sehingga ke hari ini.