Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM yang baharu pada Kongres Tahunan kali ke-54 badan induk itu yang dijadual berlangsung Julai depan.
Keputusan untuk menggalas tanggungjawab sebagai presiden itu dibuat setelah berbincang dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga menerusi pendapat pelbagai pihak lain.
Nama Hamidin mula dikaitkan dengan kerusi panas Presiden FAM setelah TMJ mendedahkah bahawa Setiausaha Agung sejak 2013 itu adalah calon yang paling dipercayai dan paling berkaliber untuk menerajui fasa peralihan bola sepak negara.
Walaupun sudah mendapat sokongan Exco FAM, namun Hamidin perlu menunggu sekiranya ada individu lain yang ingin mencalonkan diri bagi merebut jawatan berkenaan.
Mengikut prosedur, sesiapa pun rakyat Malaysia yang dicalonkan oleh anggota gabungan (FAM) berhak untuk bertanding dalam Kongres Tahunan FAM.
Beberapa nama yang sering dikaitkan selain Hamidin adalah Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Vincent Tan. Kedua-dua jutawan ini adalah pemilik kelab bola sepak di Liga Inggeris iaitu Queens Park Rangers dan Cardiff City. Namun, ramai pihak beranggapan bahawa mereka berdua bukanlah calon yang tepat untuk menaikkan mutu bola sepak di negara ini.
Buat masa kini, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan memegang sementara jawatan yang dikosongkan TMJ sehingga kongres tahunan dilangsungkan.
Diharapkan mana-mana calon yang dilantik nanti akan mampu menjalankan tugas dengan sebaiknya.
Sumber : BERNAMA
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk artikel atau iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com