Rakyat Malaysia mencatatkan kedatangan paling ramai ke Sumatera Barat, wilayah Indonesia yang terkenal dengan etnik Minangkabau dan masakan Padang itu.
Menurut data yang dikeluarkan Badan Pusat Statistik (BPS), sebanyak 56,313 pelancong asing berkunjung ke Sumatera Barat tahun lepas dan 75 peratus daripadanya adalah dari Malaysia.
Data itu merekodkan sepanjang tahun 2017, seramai 44,201 rakyat Malaysia berkunjung ke Padang dan Bukit Tinggi di Sumatera Barat, diikuti pelancong dari Thailand (2,662 orang) dan Perancis (478 orang).
Warga Malaysia turut dicatatkan sebagai pelancong yang paling ramai berkunjung ke wilayah tersebut sejak 2009.
Gabenor Sumatera Barat Irwan Prayitno dipetik menerusi media dalam talian tempatan, berkata sambutan Hari Pers Nasional 2018 (HPN 2018) yang berlangsung di Padang bermula 7 hingga 9 Feb ini dilihat akan merancakkan lagi industri pelancongan di wilayah itu.
HPN 2018 bakal menghimpunkan lebih 6,000 pengamal media dari seluruh Indonesia, serta jemputan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh.
Irwan berkata pemilihan Padang sebagai tuan rumah kepada HPN 2018, menjadi platform kepada wilayah itu untuk mendapat publisiti yang lebih meluas daripada media dalam mempromosikan Sumatera Barat sebagai destinasi pelancongan menarik di Indonesia selain Bali, Jakarta dan Bandung.
Kepada kaki travel, mungkin destinasi ini menjadi trip anda seterusnya. Selain itu, anda boleh menimba pengalaman melawat tempat menarik di Sumatera Barat ini untuk merasai keindahan alam semula jadi seperti Janjang Seribu Great Wall of Koto Gadang, Lobang Jepang, Jam Gadang di Bukit Tinggi, Pantai Padang ‘Nan Rancak Ban’, Pantai Gandoriah dan banyak lagi.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-isu viral dari dalam dan luar negara.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Sumber: BERNAMA