Kajian terbaru yang dijalankan terhadap orang utan di Borneo mendapati populasi spesis tersebut telah berkurang sebanyak 100,000 sejak tahun 1999. Ini sememangnya satu perkara yang merisaukan, memandangkan orang utan kini diklasifikasikan sebagai spesis yang terancam dan berada di tahap yang sangat kritikal.
Buat masa kini, dianggarkan jumlah orang utan di Borneo adalah sebanyak 75,000 hingga 100,000. Anggaran dibuat dengan mengambil kira bilangan spesis itu yang tinggal di habitat yang bukan merupakan tempat tinggal semulajadi mereka seperti di ladang-ladang dan hutan terbakar.
Antara punca orang utan semakin berkurang adalah habitat mereka semakin diceroboh manusia. Lihat sahajalah betapa banyak hutan yang ditebang untuk tujuan perindustrian serta projek-projek kelapa sawit. Ini memaksa spesis tersebut untuk berpindah ke habitat baru dan mengakibatkan kematian kerana tidak dapat menyesuaikan diri.
Tambahan pula, penurunan jumlah populasi dilihat sangat ketara di kawasan hutan yang ditebang bagi kerja-kerja pembalakan.
Penurunan mendadak dari segi populasi haiwan ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan sebenarnya. Sekian lama spesis ini diburu secara haram oleh manusia untuk mendapatkan bayi orang utan yang menjanjikan pulangan lumayan apabila diperdagangkan.
Selain itu, semakin banyak orang utan yang dibunuh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya akhir-akhir ini.
Pada awal bulan ini sahaja, seekor orang utan di kepulauan Borneo dilaporkan mati akibat ditembak sebanyak 130 kali menggunakan senapang angin. Haiwan itu juga ditikam dan dipukul dengan kejam. Ini merupakan kematian kedua haiwan itu di Borneo tahun ini.
Menurut salah seorang jurucakap yang menjalankan kajian tersebut, beliau mendedahkan bahawa “Orang utan adalah spesis yang lambat membiak. Jika satu daripada 100 ekor haiwan itu dibunuh setiap tahun, makan populasinya berkemungkinan besar akan menjadi pupus”.
IUCN meramalkan jumlah spesis tersebut akan berkurang daripada 105,000 menjadi 47,000 menjelang tahun 2025. Orang utan Sumatra, spesis yang berlainan, dilihat lebih membimbangkan dengan populasi mereka kini hanyalah 12,000 sahaja.
Diharapkan semua pihak dapat berganding bahu bagi memastikan spesis ini kekal terpelihara dan bebas dari kepupusan.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Sumber : SCMP
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Aku harap spesies orang utan takkan pupus kerajaan kena buat sesuatu sebelum terlambat