Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang legenda sukan tanah air yang banyak memberi inspirasi buat rakyat Malaysia. Segenap lapisan masyarakat pastinya kenal dengan kegigihan dan sikap tidak berputus asa beliau dalam memberikan persembahan terbaik di atas gelanggang.
Bekas pemain nombor satu terbaik dunia itu juga telah mengharumkan nama negara dengan yang deretan kejayaan yang telah diraih beliau di pentas tempatan dan juga antarabangsa. Ini terbukti dengan kejayaan beliau menjadi finalist dalam acara perseorangan lelaki untuk Sukan Olimpik tiga kali berturut-turut.
Namun, ramai yang mungkin tidak tahu mengenai kisah disebalik kejayaan anak kelahiran Bagan Serai ini seawal mula dia ‘jatuh cinta’ pada dunia badminton dan seterusnya menjadikan sukan itu sebagai karier dan sebahagian daripada hidupnya.
Justeru, sebuah filem biografi Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan yang akan ditayangkan di layar perak bermula 15 Mac ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan cerita sebenar liku-liku hidup Lee Chong Wei dalam arena badminton.
Di kesempatan ini, kami senaraikan 5 sebab mengapa filem ini harus menjadi filem yang ‘wajib ditonton’ oleh anda :
#1. Keperitan Hidup LCW Diceritakan Dengan Mendalam
Filem ini dimulakan dengan kisah Lee Chong Wei yang masih dalam sekolah rendah, hidup di sebuah perkampungan kecil di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Seperti kebanyakan atlit elit Malaysia yang lain, beliau bukanlah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berada dan banyak cabaran yang perlu diatasi bukan saja oleh beliau, tetapi ibu bapanya juga.
#2. Barisan Pelakon Yang Berbakat & Berkualiti
Watak Lee Chong Wei dilakonkan oleh 2 orang iaitu yang Jake Eng semasa LCW versi kecil manakala LCW yang sudah remaja dimainkan oleh Tosh Chan. Wajah Tosh yang mempunyai iras-iras LCW berjaya membuatkan para penonton merasakan bahawa mereka sedang menonton LCW yang sebenar di dalam filem.
Datuk Rosyam Nor memainkan wataknya sebagai jurulatih LCW iaitu Misbun Sidek dengan begitu bergaya ditambah dengan ketegasannya. Pelakon veteran seperti Mark Lee dan Leo Yann Yann juga cemerlang sebagai ibu bapa LCW yang tidak putus-putus memberikan motivasi kepada anak mereka.
Pujian juga harus diberikan kepada barisan pelakon lain yang mantap seperti Datuk Norman Pang, Ashley Hua, Freddie Wong, Uriah See dan Bernard Siew.
#3. Mengimbau Kembali Zaman Kegemilangan Sejarah Badminton Negara
Selain Lee Chong Wei dan Misbun, terdapat beberapa lagi atlit badminton veteran tanah air yang diadaptasi ke dalam filem ini, walaupun cuma sekadar beberapa minit. Antaranya ialah Wong Choong Hann dan Hafiz Hashim yang terkenal dengan kemenangannya dalam kejuaraan All-England pada 2003.
Turut disertakan ialah beberapa easter egg dan dialog yang menceritakan tentang zaman kegemilangan adik-beradik Sidek yang memenangi Thomas Cup pada 1992.
Paling mengujakan, seteru utama LCW dalam karier badmintonnya iaitu Lin Dan dari China juga turut ditampilkan di dalam filem ini.
#4. Menceritakan Realiti Sebenar Hidup Sebagai Seorang Atlit Badminton Professional
Filem ini juga menceritakan tentang perjalanan Lee Chong Wei yang bermula dari gelanggang-gelanggang kecil di Bukit Mertajam hinggalah ke pusat latihan profesional di Akademi Badminton Negara. Anda boleh saksikan sendiri bagaimana LCW dan atlit-atlit lain menjalani latihan fizikal dan mengendalikan tekanan dari segi mental apabila menggalas tanguungjawab sebagai pemain negara.
Semestinya ada beberapa babak yang ditokok tambah bagi mencantikkan lagi jalan cerita, namun tidaklah begitu banyak dan tidak mencacatkan perkembangan sebenar biografi ini.
#5. Filem Ini Memberi Kita Semangat Untuk Mencapai Apa Jua Yang Diingini
Penonton yang melangkah keluar dari panggung wayang selepas tamat menyaksikan biografi ini akan dibalut dengan motivasi yang cukup membara untuk mencapai apa sahaja yang diingini.
Mungkin kisah bagaimana Lee Chong Wei berkorban sepenuh masa dan tenaga untuk mencapai impiannya akan menginspirasikan anda supaya turut melakukan perkara yang sama bagi mengejar kejayaan.
Jika anda memerlukan sumber motivasi untuk lebih berjaya dalam kerjaya anda, jangan berlengah lagi! Tonton Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.
Kredit : Azzam Syafiq, Malaysian Digest
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai filem ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com