Pembelian Neymar daripada Barcelona oleh Paris Saint-Germain tidak dapat dinafikan lagi adalah perpindahan terbesar jendela musim panas ini, malah boleh dikatakan yang terbesar dalam dunia bola sepak.
Setiap tahun, para peminat bola sepak pasti digemparkan dengan perpindahan pemain berprofil tinggi dengan yuran perpindahan yang mencecah berpuluh-puluh juta. Namun, perpindahan Neymar ini sangat tidak disangka-sangka dan penuh dengan kontroversi sehingga beritanya memenuhi mana-mana muka depan akhbar serta majalah sukan.
Dengan yuran perpindahan melebih 200 juta euro, seluruh tumpuan arena sukan pastinya terarah kepada pemain antarabangsa Brazil ini.
Selain daripada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, Neymar adalah salah seorang daripada pemain yang seringkali dicalonkan sebagai pemain terbaik dunia. Jika dilihat, ini semestinya mendatangkan impak yang cukup positif kepada liga bola sepak Perancis.
Rata-rata media dan penerbitan yang membuat liputan mengenai Neymar mendapat jumlah tontonan yang sangat ramai daripada para penonton. Ini dapat dilihat semasa sidang media pengumuman Neymar menjadi milik kelab PSG secara rasmi setelah beliau menandatangani kontrak.
Perform Group yang memilik laman Goal.com, menjalinkan kerjasama dengan penyiar beIN Sports dalam menyiarkan sidang media tersebut di Paris. Sebagai sebahagian daripada kerjasama, Goal.com bertugas mempromosikan Ligue 1 kepada peminat bola sepak di seluruh dunia untuk menarik lebih ramai lagi penonton liga Perancis itu.
Jika Neymar mempunyai peminat yang cukup ramai, begitu juga dengan Goal.com. Dengan edisi yang merangkumi pelbagai bahasa, laman ini diakses berjuta-juta pengguna setiap hari terutamanya di Facebook.
Lihat sahajalah semasa sidang media pengumuman Neymar, siaran itu ditonton sebanyak 1.6 juta kali daripada sejumlah 5.5 juta pengguna di siaran Facebook Live.
Menurut Luke Matthews, Ketua Bahagian Kandungan di Goal Studios, “Ianya sangat mengagumkan apabila siaran kami ditonton oleh 25,000 pengguna pada satu-satu masa di Facebook Live, saya belum pernah melihat perkara sebegini berlaku di mana-mana liputan berita sukan yang lain”.
Dengan status Neymar sebagai pemain bertaraf dunia ditambah pula dengan jumlah penonton akaun Goal di Facebook, tidak hairanlah jika ramai penyiar seperti beIN Sports mahu menjalinkan kerjasama. Ini adalah satu pengiklanan yang bagus untuk Facebook Live sebagai medium untuk penyiaran acara sukan.
“Kisah pembelian Neymar ini merupakan berita terbesar di dalam sejarah bola sepak dunia, justeru kami mengambil keputusan untuk mendapatkan liputan mengenai berita ini sejak kami mendengar desas-desus bahawa PSG sedang merancang untuk membida Neymar daripada Barcelona”.
“Wartawan-wartawan kami melakukan tugas mereka dengan cukup baik dalam mendapatkan berita-berita terkini mengenai perpindahan Neymar ini. Ditambah dengan kerjasama beIN sports dan Ligue 1, kami akan menayangkan kesemua gol-gol yang dijaringkan Neymar untuk PSG nanti di semua laman media sosial pada apabila liga ini bermula”.
Kemasukan Neymar ini dijangka menambahkan lagi sengat PSG untuk memburu kejuaraan Ligue 1 dan Liga Juara-juara Eropah musim ini.
Sumber :
Goal.com
Digitalsport.co
[…] BACA : Bagaimana Perpindahan €200 Juta Neymar Ke PSG Ini Cetus Revolusi Di Laman Facebook Live […]