Pihak polis telah menangkap seorang lelaki berusia 38 tahun di atas kesalahan menyamar sebagai Allahyarham Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dan juga mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina kerabat diraja Johor itu di laman Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata bahawa suspek telah ditahan di kawasan berdekatan Larkin dan akan direman sehingga hari Ahad ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. Sumber foto : PDRM

Pihak polis menerima aduan pada hari Isnin kira-kira pukul 9.55 malam berkenaan kesalahan penyalahgunaan media sosial tersebut. Mereka berjaya mengesan suspek melalui informasi daripada laman facebook.

“Terdapat sebuah akaun Facebook palsu yang digunakan oleh seseorang untuk menyamar sebagai Allahyarham Tunku Laksamana Johor dan individu ini turut mengeluarkan kata-kata yang menghina Allahyarham”, ujar Khalil dalam satu kenyataan.

Suspek didapati menggunakan nama Tunku Laksamana Johor dan memuat naik gambar-gambar kerabat diraja Johor dalam profil Facebooknya.

Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menipu dengan penyamaran. Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara selama 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, polis Johor menasihati pengguna media sosial supaya tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap sesiapa yang menyalahgunakan media sosial, dan orang-orang tersebut akan diburu dan ditangani di bawah undang-undang Malaysia, “tambah Khalil lagi.

Allahyarham Tunku Abdul Jalil. Sumber foto : Astro Awani

Allahyarham Tunku Abdul Jalil meninggal dunia pada 5 Disember 2015 pada usia 25 tahun kerana menghidap kanser hati.

 


Sumber dipetik daripada The Star dan New Straits Times dan diolah kepada Bahasa Melayu. 

Facebook Comments

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here