Meskipun agak mustahil untuk menilai sekolah di negara manakah yang terbaik di dunia, namun Finland secara konsistennya menunjukkan keputusan yang sangat baik dalam peperiksaan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) bagi subjek Matematik, Membaca dan juga Sains.

Mungkin ramai yang terkejut bahawa Finland, sebuah negara kecil yang hanya mempunyai 5.5 juta penduduk mampu mencapai kejayaan tersebut. Bukan itu sahaja, Finland mengungguli carta 5 negara terbaik dalam setiap kategori yang dinilai.

Finland

Ini sekaligus menjadikan Finland sebagai salah sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di Eropah dan juga dunia mengatasi Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

Sudah tentunya kejayaan Finland ini sangat berkait rapat dengan pendekatan yang diguna pakai dalam sistem persekolahan di negara itu. Justeru, artikel ini mendedahkan 5 faktor kejayaan sistem pendidikan di Finland ini sehingga dianggap yang terbaik di dunia.

1. Kanak-kanak Mula Bersekolah Pada Usia Yang Lambat

Sumber : Dr Kina Kulik

Mungkin ramai yang agak skeptikal dengan perkara ini, namun tidak bagi Finland. Di Finland, kanak-kanak hanya mula bersekolah pada umur 7 tahun. Sebelum kanak-kanak bersekolah, ibu bapa mempunyai pilihan sama ada ingin menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan berkualiti tinggi yang bersubsidi ataupun ke pra-sekolah.

Ini bermakna, meskipun kanak-kanak mula bersekolah pada usia yang lambat, namun mereka telah dipersiapkan untuk memasuki alam persekolahan dengan awal. Sebelum usia 7 tahun, pembelajaran secara tidak langsung melalui bermain sangat dititikberatkan kepada mereka.

Pendekatan sebegini diambil kerana falsafah Pendidikan di Finland percaya bahawa kanak-kanak akan lebih cepat belajar sekiranya mereka sudahpun bersedia dan bukannya dipaksa.

2. Guru-guru Mengajar Bukan Untuk Ujian (Kerana Tiada Ujian)

Meskipun kanak-kanak di Finland sering mendapat keputusan yang cemerlang di dalam ujian matematik dan membaca di peringkat antarabangsa, namun ujian selaras (standardized test) bukanlah sebahagian daripada sistem pendidikan di Finland.

Hanya ada satu sahaja ujian wajib yang perlu diduduki iaitu ujian di tahun akhir sekolah menengah (high school). Terdapat juga ujian di peringkat daerah bagi yang memilihnya, namun keputusannya tidak didedahkan kepada orang awam dan tidak dititikberatkan oleh guru dan pihak sekolah.

Kurangnya penekanan yang diberikan kepada ujian selaras ini membolehkan para guru untuk lebih fleksibel dalam merancang pelan pembelajaran (lesson plan). Guru juga lebih bebas untuk memantau prestasi pelajar berdasarkan topik-topik yang telah diajar.

3. Bermain Dan Aktiviti Adalah Sebahagian Daripada Kurikulum

Arja-Sisko Holappa, kaunselor di Lembaga Pendidikan Kebangsaan Finland menegaskan bahawa amatlah penting untuk pihak sekolah memastikan kanak-kanak sentiasa gembira dalam proses pembelajaran.

Setiap sekolah di Finland mempunyai unit kebajikan yang dikhaskan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa gembira di sekolah.

Selain daripada subjek bahasa, matematik dan sains, kanak-kanak juga banyak dilibatkan dengan subjek-subjek tambahan seperti pendidikan jasmani, senireka, etika dan juga muzik.

Di selang masa antara setiap subjek, mereka diberikan masa 15 minit untuk melakukan aktiviti bebas di luar kelas sebanyak 4 kali sehari. Para guru dan ibu bapa di Finland merasakan bahawa aktiviti-aktiviti tersebut merupakan satu keperluan dalam proses pembelajaran di sekolah.

Mereka juga diberikan kerja rumah (homework) tetapi dalam kadar yang sangat sedikit. Ini adalah untuk memberikan mereka lebih masa untuk bermain dan melakukan aktiviti apabila mereka pulang dari sekolah.

4. Guru-guru Diberikan Latihan Yang Mantap

Di Finland, mengajar merupakan satu kerjaya yang menjadi idaman ramai. Kerjaya sebagai seorang guru dianggap profesional, setaraf dengan doktor dan peguam.

Tambahan pula, seseorang individu itu haruslah memiliki kelayakan ijazah sarjana untuk menjadi seorang guru.

Persaingan untuk diterima menjadi seorang guru amatlah sengit. Menurut satu laporan pada tahun 2012, University of Helsinki menerima lebih daripada 2,300 permohonan untuk 120 tempat sebagai guru di program pendidikan sekolah rendah.

Finland

Kelayakan yang ditetapkan untuk ijazah sarjana ini memerlukan guru-guru di Finland secara umumnya mengikuti program persiapan 5 hingga 7 tahun setengah sebelum dibenarkan mengajar.

Masyarakat Finland juga memberikan penghormatan yang sangat tinggi kepada para guru. Ini secara langsung membuatkan para guru lebih bersemangat untuk menjalankan tugas mereka.

5. Kesamarataan Di Antara Sekolah

FinlandAntara sebab utama sistem pendidikan di Finland ini sangat berjaya adalah kerana budaya masyarakatnya yang mengutamakan kesamarataan bagi semua sekolah.

Sistem persekolahan menuntut pelajar-pelajar yang cemerlang untuk sama-sama membantu pelajar yang lemah agar mereka juga boleh turut cemerlang. Yang paling penting lagi, konsep ini turut diamalkan di antara sekolah-sekolah.

Tiada istilah sekolah cemerlang ataupun sekolah berprestij di dalam sistem pendidikan FInland, sebaliknya semua sekolah haruslah saling bantu membantu bagi memastikan pelajar-pelajar memberikan prestasi yang terbaik.

Konsep ini sangat penting bagi mengelakkan pihak tertentu daripada hanya memberi fokus kepada sekolah cemerlang sahaja dan sekolah yang kurang cemerlang pula dianaktirikan.

Menerusi konsep ini juga, semua pihak saling bekerjasama untuk memantapkan sistem pendidikan dan tiada sekolah yang mengejar status untuk menjadi sekolah terbaik semata-mata.

Ini juga bermakna sekolah-sekolah memberikan layanan yang sama rata kepada semua pelajar, tidak kiralah di kawasan mundur yang miskin ataupun kawasan bandar yang mewah.

Konklusinya, sistem pendidikan yang diamalkan di Finland ini ternyata telah berjaya menjadikan negara itu sangat cemerlang dari segi pendidikan. Semestinya terdapat beberapa perkara yang kita harus contohi daripada mereka.

Yang paling penting, memantapkan pendidikan ini bukan sahaja tugas para guru, pihak sekolah dan kerajaan sahaja namun turut memerlukan kerjasama yang padu daripada pihak ibu bapa dan juga masyarakat.

Sumber : Business Insider

Facebook Comments

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here